suria

JDT Tamat Kemarau 29 Tahun Rangkul Juara Piala Sumbangsih

PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan kemarau 29 tahun Piala Sumbangsih selepas menumpaskan Pahang 2-0 pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Sabtu. Kali terakhir skuad Harimau Selatan itu memenangi piala tersebut ialah pada 1986.

Dua gol JDT hasil daripada jaringan pemain import dari Brazil, Marcos Antonio Elias Santos pada minit ke-37 dan Luciano Gabriel Figueroa, pemain import dari Argentina, pada minit ke-58 sudah memadai untuk Harimau Selatan itu mencipta sejarah baru.

Jaringan dua pemaim import pasukan Juara Liga Super musim lepas itu juga turut mencalar rekod tanpa kalah Pahang sepanjang lima pertemuan antara mereka musim lepas sekaligus memberi amaran awal menjelang saingan Liga Malaysia yang bakal membuka tirainya minggu depan.

Kemenangan tersebut juga membolehkan JDT mengutip tiga mata pertama untuk membuka tirai Liga Super musim ini.

Pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 25,000 penonton itu, JDT menguasai keseluruhan babak pertama dan berjaya melakukan beberapa cubaan menarik.

Namun, tiga cubaan berturut-turut yang dilakukan oleh pemain import dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-13, 14 dan 18 gagal disempurnakan dengan baik.

Mahali Jasuli dan Figueroa juga turut melakukan cubaan merbahaya masing-masing pada minit ke-30 dan 33 namun sekali lagi gagal menewaskan penjaga gol Tok Gajah, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid.

Skuad Harimau Selatan, yang dibimbing jurulatih Bojan Hodak, akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila Santos menanduk masuk bola sepakan sudut kegawang Pahang.

Pada babak kedua, permainan lebih seimbang dengan kedua-dua pasukan saling membalas serangan.

Bagaimanapun, JDT berjaya mengukuhkan kedudukan apabila Figueroa menanduk cantik sepakan sudut oleh kapten Safiq Rahim untuk mengesahkan kemenangan mereka. 

Piala Sumbangsih, JDT, Pahang

Artikel Sebelum

Newcastle Benam Hull City 3-0

Artikel Berikut

Artikel Lain