suria

Jaguh Golf Negara, Darwis Deran Meninggal Dunia

IPOH: Bekas jaguh golf negara Darwis Deran, meninggal dunia akibat kanser darah, di rumahnya di Kampung Tersusun Batu 6, Tambun, di sini Rabu malam.

Anak kedua Allahyarham, Ahmad Darmis Darwin, 48, ketika dihubungi Bernama berkata, bapanya yang berusia 83 tahun itu meninggal dunia kira-kira 8.45 malam, selepas menghidap kanser darah sejak setahun lepas.

"Arwah ayah mula terlantar sakit sejak seminggu lalu selepas terjatuh di dalam bilik tidur ketika hendak ke tandas," katanya.

Beliau berkata mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham yang disifatkan sebagai ayah yang sangat penyayang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Zalinah Ishak, 66 dan lapan orang anak iaitu enam lelaki dan dua perempuan.

Dilahirkan di Ipoh, Perak, Darwis banyak menyertai kejohanan antarabangsa pada 1960-an antaranya Putra Cup Amatur di Bangkok, Thailand dan mendapat anugerah pemain golf terbaik Malaysia pada 1966.

Allahyarham juga pernah mewakili negara dalam kejohanan golf di Piala Dunia Amatur, Amerika Syarikat dan pernah menerima hadiah jam tangan daripada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun di sini, pada 11 pagi Khamis.



Darwis Deran, golf, Tambun, kanser darah

Artikel Lain