suria

Yakeb Bantu 40 Bekas Atlet Terjejas Banjir

Jamil Salleh

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menganjurkan program 'Jaringan Demi Kebajikan' bagi mengutip dana untuk membantu mangsa-mangsa banjir khususnya dalam kalangan bekas atlet kebangsaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan yang juga pengerusi Yakeb Datuk Jamil Salleh berkata program menerusi perlawanan bola sepak persahabatan antara pilihan Yakeb dan pilihan Kelab Kereta Klasik Malaysia/Singapura pada Ahad berjaya mengumpul dana hampir RM40,000.

"Ini adalah program permulaan dan kita akan teruskan pungutan dana ini supaya dapat membantu bekas-bekas atlet yang terjejas akibat bencana banjir.

Mungkin penyerahan kita akan mula agihkan pada minggu hadapan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di padang bola sepak Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau berkata sebanyak 40 bekas atlet akan menerima bantuan berupa wang tunai serta barangan keperluan bagi membantu meringankan beban dan seterusnya membolehkan mereka merancang untuk memenuhi keperluan mereka.

Katanya, penerima bantuan banjir itu juga merupakan anggota Yakeb terdiri daripada 20 penerima di Kelantan, tujuh di Perak dan selebihnya bekas atlet di Terengganu dan Pahang.

"Bantuan ada dalam bentuk wang tunai dan material sebab kali ini mereka (mangsa banjir) memerlukan wang tunai untuk tujuan pembelian peralatan rumah,"katanya.

Turut sama dalam pasukan pilihan Yakeb adalah bekas pemain kebangsaan termasuk Datuk K.Rajagobal, Reduan Abdullah dan Khalid Ali. 

Yakeb

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain