suria

Liga Hoki Dunia: Firhan Cari Rentak Sumbang Gol

SINGAPURA: Penyerang skuad hoki negara, Muhammad Firhan Ashari berharap saingan pusingan kedua Liga Hoki (HWL) 2015 memberi peluang kepadanya untuk menyumbang jaringan kepada pasukan Malaysia.

Menurut Muhammad Firhan, 22 tahun, yang sudah menyertai lebih 68 kejohanan bertaraf antarabangsa, kali terakhir beliau menjaringkan gol adalah pada temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

"Pada perlawanan pertama menentang Ukraine semalam (Sabtu), saya tidak menjaringkan sebarang gol. Jadi saya harap pada perlawanan bertemu Oman dan seterusnya, saya akan berikan gol kepada pasukan," katanya kepada pemberita di Stadium Hoki Sengkang, pada Ahad.

Mengulas mengenai prestasi pasukannya bagi perlawanan pertama pada Sabtu menentang Ukraine, Muhammad Firhan berkata mereka masih mencari rentak bagi menyesuaikan diri beraksi di padang baharu di Stadium Hoki Sengkang itu.

Katanya, pasukan hoki negara masih belum menunjukkan mutu sebenar disebabkan kurang menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa dalam masa terdekat sebelum saingan bermula.

Malaysia berjaya mengutip tiga mata penuh pada perlawanan pertama selepas menewaskan Ukraine 5-1 dan akan bertemu Oman, yang kini berada di ranking ke-22 dunia, Isnin ini.

"Bagi saya Oman sebuah pasukan yang kuat dari segi individua...kebanyakan pemain Oman bermain dengan bagus. Corak permainan Oman sama dengan Ukraine, mereka lebih kepada permainan berbentuk individu.

"Macam juga beraksi bersama Ukraine, mereka beraksi dengan cara Eropah, semua taktik mereka adalah lebih kurang sama, jadi kita sudah biasa. Kita hanya perlukan lebih usaha untuk tambah banyak gol," katanya.

Muhammad Firhan berkata disebabkan perbezaan ranking yang agak ketara dengan Malaysia kini mengungguli carta ranking ke-13 dunia berbanding pasukan lawan, Malaysia perlu berkerja keras bagi membuktikan kemampuan mereka.

Selepas Oman, Malaysia akan bertemu pasukan tuan rumah, Singapura pada Selasa, bagi melengkapkan jadual Kumpulan A.

Kumpulan B terdiri daripada pasukan Jepun, Bangladesh, Poland dan Mexico.

Liga Hoki Dunia, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain