suria

Golf: Mardan Raih Gelaran Keempat Jelajah PGA Asean

Mardan bersama trofi kemenangan.

KUALA LUMPUR: Pemain Singapura, Mardan Mamat meraih gelaran keempat Jelajah PGA Asean selepas merangkul Kejohanan Golf Sabah Masters 2015 dengan kelebihan empat pukulan di Kelab Golf & Country Sutera Harbour, Kota Kinabalu, Sabtu.

Pemain berusia 46 tahun itu melakar tiga di bawah par 68 pada pusingan akhir untuk mencatatkan keseluruhan 10 bawah par 274, mengetepikan cabaran sengit daripada dua pemain Malaysia, Danny Chia (67) dan Arie Irawan (68) yang terikat pada posisi kedua dengan jumlah kutipan enam di bawah 278.

Mardan yang membolot US$$16,675 (RM59,341) atas kemenangan itu berasa gembira dapat mengekalkan kelebihan empat pukulan pada Jumaat selepas pertandingan sengit dalam pusingan akhir.

"Saya telah beberapa kali membuat penampilan pada Masters Sabah pada masa lalu dan gagal mengakhirnya dengan kejayaan, jadi kali ini apabila meraih trofi memberi makna yang amat besar kepada saya.

"Ia cukup baik untuk memulakan musim 2015 dengan kemenangan dan menghadapi cabaran sebelum meraih kemenangan memberi kepuasan," kata Mardan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jelajah PGA Asean.

Pada pusingan akhir, Mardan  mengakui bahawa Chia memulakan cabaran dengan baik hingga memaksanya untuk mengekalkan persembahan terbaiknya untuk merangkul gelaran pada kejohanan bernilai US$100,000 (RM350,000) itu.

"Saya tahu bahawa saya terpaksa melakar sesuatu seperti tiga hingga empat pukulan bawah par jika saya mahu menduduki posisi teratas.

"Saya telah menyatakan sepanjang minggu bahawa mencatatkan birdie menjadi perkara penting dan saya amat gembira dengan prestasi saya...saya menghayun bola dengan penuh keyakinan," katanya.

Mardan sebelum ini telah meraih gelaran A'Famosa Masters di Melaka pada 2013, Mercedes-Benz Masters Malaysia (2010) dan juga Mercedes-Benz Masters Singapura pada 2009.

Dalam pada itu, Chia bermula yakin dengan menampilkan enam birdie setakat lubang ke-11 untuk merapatkan jurang dengan Mardan tetapi beliau gagal meneruskan rentak selepas tercicir pukulan birdie pada lubang ke-12.

Chia, pemain ranking terbaik negara, mengalami satu lagi nasib malang apabila gagal menyempurnakan birdie pada lubang berikutnya.

Ben Leong, pemain Sabah berusia 28 tahun bangkit dengan catatan empat bawahpar 67 untuk menduduki tempat keempat dengan lima di bawah 279, dua pukulan mengatasi pemain Thailand Sutijet Kooratanapisan. 

Sabah Master, Mardan Mamat

Artikel Lain