suria

MOM Tukar Nama MIM Untuk Teruskan Penganjuran

Danyal Balagopal Abdullah (kiri).

KUALA LUMPUR:  Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tetap akan menganjurkan Malaysian International Marathon (MIM) 2015 seperti dirancang pada 23 dan 24 Mei ini di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Naib Presiden MOM, Datuk Danyal Balagopal Abdullah berkata, pihaknya bersetuju menukar nama program larian tersebut kepada satu nama lain bagi memastikan ia dapat diteruskan.

"Program tersebut tetap akan diteruskan, jika KOM (Kesatuan Olaharaga Malaysia) tidak membenarkan kita menggunakan perkataan 'International Marathon', jadi kita akan tukarkan nama tersebut kepada nama lain.

"Projek ini adalah kerjasama bersama Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang (PAAA) jadi tidak menjadi masalah atau timbul isu lagi, PAAA adalah ahli KOM...jika mengikut perlembagaan mereka, PAAA dibenarkan menganjurkan aktiviti pembangunan sukan olahraga di negeri itu.  

"Jika timbul masalah lagi...itu antara PAAA dan KOM. Ia bukan isu pengiktirafan tetapi masalah terlalu bising. Seperti saya cakap sebelum ini penganjuran tersebut untuk mengutip dana bagi membantu mana-mana persatuan," katanya selepas menghadiri mesyuarat Anggota Lembaga MOM pada Selasa.

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim sebelum ini bertegas bahawa KOM tidak akan mengiktiraf acara itu kerana mendakwa ia bertentangan dengan peraturan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) yang mensyaratkan mana-mana kejohanan olahraga perlu mendapat sokongan badan induk olahraga sesebuah negara.

Acara itu yang menawarkan hadiah keseluruhan RM350,000 dianjurkan buat julung kalinya oleh MOM bermatlamat mengutip dana bagi membantu persatuan sukan kebangsaan yang menghadapi kekangan kewangan.

Sementara itu, Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata mereka bercadang menukar nama MIM kepada Larian Jambatan Tuanku Abdul Halim tetapi cadangan itu masih perlu dibincangkan dengan kerajaan Pulau Pinang dan juga rakan penaja.

MOM, MIM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain