suria

Dua Pemain Harimau Malaya Sedia Galas Cabaran Terengganu Musim Ini

Zubir Azmi cuba menghalang pemain Thailand Chanathip Songkrasin ketika perlawanan Kumpulan B Piala AFF Suzuki Cup di Singapura, baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU: Dua pemain Harimau Malaya Abdul Manaf Mamat dan Muhammad Zubir Mohd Azmi mengakui status sebagai pemain kebangsaan bukan jaminan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan Terengganu bagi menghadapi Liga Malaysia musim ini.

Justeru, kedua-dua pemain berkenaan yang memperkuatkan cabaran Harimau Malaya pada saingan Piala AFF Suzuki penghujung tahun lepas, bertekad menampilkan aksi mantap agar dapat memikat jurulatih Abdul Rahman Ibrahim untuk diserapkan dalam kesebelasan utama Terengganu.

Sebagai penyerang, Abdul Manaf, 28, berkata beliau terpaksa bersaing dengan dua penyerang import iaitu Paulo Rangel dari Brazil serta pemain kelahiran Lubnan, Hassan Chaito.

Abdul Manaf berkata beliau akan berusaha mempamerkan prestasi terbaik untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama dan selebihnya bergantung kepada perancangan Abdul Rahman sama ada mahu menggunakan khidmatnya atau tidak.

"Pasukan Terengganu kini berada di landasan terbaik walaupun saya baru beberapa hari menyertai pasukan ini (selepas mewakili Harimau Malaya pada Piala AFF Suzuki).

"Saya berharap pada musim ini pasukan Terengganu berada pada kedudukan lebih baik berbanding musim lepas," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Abdul Manaf turut meletakkan sasaran peribadi musim ini untuk menjaringkan lebih banyak gol bagi membantu Terengganu memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

"Bagaimanapun, saya perlu lebih banyak menjalani latihan dan berharap dalam tempoh satu dua minggu lagi tahap kecergasan saya akan kembali seperti biasa," katanya.

Bagi Muhammad Zubir, 24, beliau enggan mendabik dada walaupun sering diturunkan sebagai kesebelasan utama untuk pasukan Harimau Malaya pada saingan Piala AFF Suzuki lepas.

"Terserah kepada jurulatih (untuk memilih pemain). Sebagai pemain, kita akan cuba sebaik mungkin untuk meyakinkan mereka. Saya lihat ramai pemain baharu pasukan Terengganu boleh bermain di posisi saya sekarang (pertahanan kiri) termasuk Khairul (Rosmadi)," katanya.

Terengganu akan memulakan saingan Liga Super 2015 berdepan Selangor di Kuala Terengganu pada 7 Februari.

Artikel Berikut

Artikel Lain