suria

KJ Tempelak 'Orang Tua' Dalam Sukan

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyindir dan menempelak dua persatuan sukan kerana gagal menyelesaikan kemelut mengenai penganjuran Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) di Pulau Pinang, Mei ini.

Dalam tweet Khairy menjelang tengah hari Sabtu, Ahli Parlimen Rembau itu menulis: “Saya sarankan MOM & KOM bincang settle masalah. Budak muda ini offer utk facilitate penyelesaian pegawai2 sukan senior yg gaduh macam kanak2."

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sedang bertelagah dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengenai penganjuran larian berkenaan kerana membabitkan keputusan pentadbiran terdahulu serta isu kebenaran daripada pihak yang sepatutnya.

Larian sejauh 42 kilometer itu dirancang diadakan pada 23 dan 24 Mei ini dari Stadium Batu Kawan di Seberang Prai Selatan ke bahagian pulau melalui Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah sebelum berpatah balik ke tempat permulaan.

Ia menimbulkan masalah apabila larian anjuran MOM itu didakwa tidak mendapat restu KOM, malah persatuan olahraga itu mendakwa penganjuran acara itu mengganggu periuk nasi mereka.

Namun kelmarin, MOM menegaskan, mereka tetap meneruskan acara itu seperti dijadualkan.

Naib Presiden MOM, Datuk Danyal Balagopal Abdullah berkata, pihaknya tidak perlu mengadakan perbincangan dengan KOM bagi mendapatkan pengiktirafan.

"Apabila dikatakan acara ini tidak sah, ia sangat tidak masuk akal. Kenapa kami perlu bertemu dengan KOM? Kami badan induk tertinggi sukan di negara ini.

"Kami boleh lakukan apa saja untuk negara. Kami menganjurkan acara ini dengan satu tujuan iaitu untuk mengumpul dana bagi membantu Majlis Sukan Negara," katanya.

Selain itu, Danyal berkata, pihaknya pernah mengadakan perbincangan dengan KOM ketika badan itu berada di bawah kepimpinan Datuk Zainal Abidin Ahmad dua tahun lalu.

Khairy adalah seorang daripada menteri generasi baharu yang terbuka dan tidak teragak-agak menyatakan pendapatnya melalui media sosial, dengan sesekali menggunakan kaedah kurang konvensional.

Khairy juga pernah menggunakan cara parodi bagi menyindir sesetengah pihak.


KJ, MOM, KOM, maraton

Artikel Lain