suria

Simpan Kenangan Manis, Fokus Piala Sumbangsih Bertemu JDT - Zainal Abidin

Pemain Pahang Mathias Ruben Conti dan Azimuddin Akil menjulang trofi Piala Sumbangsih 2014 selepas menewaskan Lions XII 1-0.

PETALING JAYA: Perlawanan Piala Sumbangsih 2015 menyaksikan aksi ulangan dua pasukan final Piala Malaysia musim lalu, Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT) pada 31 Januari ini yang pastinya bakal menyajikan persembahan menarik.

Secara jelasnya, 2014 dianggap tahun paling bertuah buat skuad Tok Gajah selaku juara treble musim lalu dengan merangkul trofi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia yang menewaskan JDT 5-3 menerusi sepakan penalti.

Bagi pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan kejayaan lalu tetap menjadi kenangan manis buat pasukannya dan tidak akan membiarkan pemain-pemain lalai dengan rekod yang dilakarnya itu.

Malah sudah tentu trofi Piala Sumbangsih yang dijulang buat kali pertama selepas 21 tahun musim lalu akan cuba dipertahankan di Pahang.

Zainal Abidin Hassan

Namun realistiknya, Zainal Abidin sedar bertemu JDT bukanlah sesuatu yang mudah, berdasarkan aksi akhir ketika Piala Malaysia, November lalu dan juga perlawanan-perlawanan lain.

Jelasnya, semua pemain sedar situasi ini, lebih-lebih lagi Piala Sumbangsih hujung bulan ini akan berlangsung di Stadium Larkin, Johor.

"Mereka sudah tentu akan bangkit cuba menebus kekecewaan baru-baru ini. Itu saya pasti.

"Pun begitu, skuad saya tidak leka dan kini dalam persiapan rapi untuk perlawanan tersebut khasnya dan juga saingan Liga Malaysia, Piala FA serta Piala Malaysia selepas itu.

"Pemain-pemain telah mula menjalani latihan sejak sebulan yang lalu dan kini saya bersyukur cuaca semakin baik untuk meneruskan persiapan yang lebih rapi," jelasnya kepada mstaronline pada Selasa.

Jurulatih berusia 53 tahun itu berkata, dalam tempoh terdekat ini juga pasukannya akan menjalani beberapa perlawanan persahabatan untuk menguji skuad bimbingannya.

"Dari segi barisan pemain, saya tidak menghadapi sebarang kesulitan kerana majoriti pemain-pemain lama masih kekal bersama.

"Dengan kehadiran beberapa pemain baharu, saya harap mereka boleh menyesuaikan diri dengan lebih cepat.

"Mohammad Nor Azam bin Abdul Azih (Harimau Muda B), Ab Azizi Ismail (Kelantan) serta pemain Harimau Muda A, R. Surendran antara muka-muka baharu yang akan perkuatkan skuad Pahang musim ini.

"Manakala pemain-pemain import yang sedia ada juga setia bersama kami," jelasnya yang mengakui akan cuba menggunakan ramuan berbeza menjelang pertemuan dengan JDT nanti.

Ketika ini, Pahang masih mengekalkan empat pemain impornya, iaitu Damion Stewart, Dickson Nwakaeme,Matias Conti dan Zesh Rehman.

Dalam pada itu, Zainal Abidin turut menjelaskan skuadnya mempunyai pelbagai pilihan untuk mengatur barisan pemain berikutan peraturan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang membenarkan empat pemain import beraksi musim ini.

"Kita akan tengok situasi permainan, kalau perlukan empat pemain import bermain serentak, saya akan turunkan mereka semua dan sebaliknya," tambah Zainal Abidin.

Artikel Berikut

Artikel Lain