suria

Piala AFF Suzuki: Tiket Final Mula DiJual Di Talian Mulai Ahad

KUALA LUMPUR: Tiket bagi perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Disember ini akan mula dijual dalam talian bermula 9 pagi Ahad.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata tiket tersebut dijual pada harga RM50 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

Peminat boleh membeli tiket dalam talian menerusi laman webhttp://www.tickethotline.com.my.

Beliau berkata penjualan tiket di kaunter pula akan mula dijual pada hari Rabu (17 Dis) bermula 6 petang dan kaunter tiket di stadium dibuka sehingga hari perlawanan.

"Kenaikan harga tiket daripada RM40 kepada RM50 bagi dewasa bukan perkara baharu sebaliknya ianya telah diputuskan sejak awal penganjuran lagi," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu.

Hamidin berkata jika dibandingkan dengan negara lain, harga tiket perlawanan di Malaysia jauh lebih rendah dan tidak membebankan penyokong bola sepak negara.

"Jika kita bandingkan dengan tiket perlawanan Piala AFF Suzuki lain harga tiket di Malaysia adalah lebih rendah...di Singapura harga tiket dijual dengan harga S$26 (RM61.17) ..manakala di Vietnam baru-baru ini,  tiket perlawanan separuh akhir kedua antara Vietnam dan Malaysia dijual pada harga US$20(RM69.91)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata pihak Football Association ofThailand (FAT) telah menyediakan sebanyak 2,500 tiket kepada penyokong Malaysia bagi perlawanan akhir pertama di Stadium Rajamangala, Bangkok, pada 17 Disember ini.

"Kita juga mungkin akan menyediakan jumlah tiket yang sama iaitu sebanyak 2,500 keping kepada penyokong Thailand yang datang menyaksikan perlawanan akhir kedua di sini nanti," katanya.

Hamidin berkata beliau menaruh harapan tinggi agar pasukan bimbingan jurulatih Dollah Salleh mampu meraih gelaran juara pada kali ini dan ianya adalah harapan bagi seluruh rakyat Malaysia.

Malaysia layak ke final Piala AFF Suzuki 2014 selepas menewaskan Vietnam,4-2 dengan kemenangan agregat 5-4 pada aksi separuh akhir kedua di Hanoi, Khamis lepas.

Thailand pula layak ke final selepas membenam Filipina dengan agregat 3-0. 

tiket final

Artikel Berikut

Artikel Lain