suria

Final Piala AFF Suzuki: Stadium Bukit Jalil Sedia Terima Pemain Dan Penyokong

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Datuk Azzuddin Ahmad (dua,kiri) Hamidin Mohd. Amin (kiri) melihat keadaan padang Stadium Bukit Jalil pada Sabtu.

PETALING JAYA: Perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2014 di antara Malaysia bertemu Thailand akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, pihaknya cuba melakukan yang yang terbaik dalam menyediakan perkhidmatan menjelang perlawanan akhir nanti.

"Pagi tadi wakil FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan AFF (Persatuan Bola Sepak Asean) hadir melihat sendiri padang ini dan mereka berpuas hati.

"Malah wakil dari AFF, Datuk Azzuddin Ahmad memberitahu padang di Stadium Bukit Jalil ini adalah yang terbaik berbanding padang perlawanan sebelum ini.

"Pihak PSM sedia menerima pemain-pemain dan semua penyokong bola sepak, malah 90 peratus keadaan padang telah sempurna selepas proses baik pulih dijalankan. Cuma ada sedikit di bahagian selekoh padang yang kita tidak boleh nak perbaiki sepenuhnya.

"Masalah lopak itu semua orang tahu, malah kita sendiri sudah mencuba bermacam-mcam cara untuk mengatasinya.

"Kita akan terus menanam rumput di kawasan itu dan dalam tempoh lima hari lagi ia akan lebih baik.

"Pun begitu, saya juga yakin padang stadium ini jauh lebih baik daripada stadium di Vietnam," jelasnya kepada mStar Online.

Tambah Rozabil, keadaan di luar stadium pada hari perlawanan nanti dijangka lebih sibuk memandangkan pada tarikh sama berlangsungnya satu konsert di Stadium Putra.

"Manakala di ruang Parking A dan B berlangsung Festival Motosikal Antarabangsa bermula 19 hingga 21 Disember," jelasnya.

Selain itu, sesi pemeriksaan padang pada pagi ini (Sabtu) dilakukan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Azzuddin dan beberapa orang wakil lagi.

Sebelum ini, lokasi aksi akhir kedua ini menjadi persoalan sama ada akan berlangsung di Stadium Shah Alam mahupun di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada aksi separuh akhir menentang Vietnam minggu lalu, perlawanan diadakan di Stadium Shah Alam memandangkan ketika pemilihan, Stadium Nasional Bukit Jalil masih lagi dalam proses baik pulih padang.

Kali terakhir Stadium Nasional digunakan adalah pada aksi akhir perlawanan Piala Malaysia di antara Pahang dan JDT awal November lalu.

Namun keadaan padang yang teruk menjadi isu hangat selepas perlawanan itu berlangsung.

Skuad Harimau Malaya mara ke final selepas menewaskan Vietnam secara agregat 5-4. 

Pusingan akhir pertama akan berlangsung di Bangkok, Rabu ini manakala aksi timbal balik Sabtu depan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain