suria

Malaysia Kalah 1 -3 Kepada Vietnam Aksi Perlawanan Antarabangsa

Kapten Harimau Malaya, Muhammad Shukor Adan (kanan) cuba mengasak pemain Vietnam, Mac Hong Quan (tengah) pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Vietnam, malam Ahad. Skuad negara longlai di Hanoi, tewas 1-3 kepada Vietnam.
KUALA LUMPUR : Skuad Harimau Malaya terus mempamerkan aksi mengecewakan pada aksi persahabatan antarabangsa selepas kalah 3-1 kepada Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam, pada Ahad.

Kekalahan itu merupakan yang keempat dicatatkan skuad kendalian Dollah Salleh yang sebelum ini tewas dalam tiga aksi persahabatan terdahulu.

Mereka kalah 4-1 kepada Tajikistan di Stadium Central Dushanbe, Tajikistan pada 8 Ogos selain kecundang 2-0 kepada Indonesia pada 14 September lepas di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya, Indonesia.

Skuad Harimau Malaya turut diaibkan dengan kekalahan 3-0 kepada skuad Bawah 23 (B-23) Syria pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Rabu lepas.

Malaysia hanya mencatatkan satu kemenangan iaitu mengalahkan Kemboja 4-1 di Stadium Shah Alam pada 20 September lepas.

Pada aksi hari Ahad, kedua-dua pasukan saling mengasak bagi mencari gol awal namun skuad negara berjaya mendahului pada minit ke-22 menerusi pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Amri Yahyah yang bijak menyudahkan hantaran daripada Norshahrul Idlan Talaha.

Tersentak dengan gol tersebut, pasukan tuan rumah kembali memperkemas corak permainan bagi mencari gol penyamaan namun dihampakan oleh ketumpulan jentera serangan dan keputusan itu kekal sehingga berakhir separuh masa.

Bersambung babak kedua, pasukan Vietnam menggandakan asakan ke kubu skuad negara dan mereka akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mac Hong Quan pada minit ke-47.

Selang seminit kemudian, skuad negara ditimpa malang selepas pemain pertahanan, Mohd Muslim Ahmad dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan kerana mengasari pemain Vietnam.

Kekurangan 10 pemain dimanfaatkan sepenuhnya pasukan tuan rumah yang menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti oleh Nguyen Van Quyet pada minit ke-56.
 
Sepakan penalti itu diberikan oleh pengadil selepas pemain pertahanan, Mahalli Jasuli menjatuhkan Van Quyet di dalam kotak penalti skuad negara.

Pemain tengah, Ngo Hoang Thinh mengesahkan kemenangan mutlak Vietnam pada minit ke-81 selepas beliau menyambar bola yang gagal ditampan kemas oleh penjaga gol skuad negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Perlawanan berkenaan merupakan sebahagian daripada persiapan skuad negara untuk menghadapi Piala AFF Suzuki di Singapura dari 23-29 November ini.

Malaysia yang diundi dalam kumpulan B akan memulakan kempen kejohanan berdepan Myanmar pada 23 November disusuli aksi kedua menentang Thailand (26 November) dan kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Skuad negara akan menamatkan aksi peringkat kumpulan menentang Singapura di Stadium Nasional Singapore Sports Hub pada 29 November ini.


Harimau Malaya, Vietnam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain