suria

Kejohanan Skuasy Dunia Lelaki 2014: Mohd Nafiizwan Tersingkir

Mohd Nafiizwan
KUALA LUMPUR: Pemain nombor dua negara, Mohd Nafiizwan Adnan tersingkir daripada Kejohanan Skuasy Dunia Lelaki 2014 yang berlangsung di Kompleks Tenis dan Skuasy Antarabangsa Khalifa di Doha, Qatar.

Pada pusingan kedua Ahad, pemain kelahiran Kuala Terengganu itu tumpas 4-11, 7-11 dan 3-11 kepada pemain nombor dua dunia selaku pilihan utama, Gregory Gaultier dari Perancis, menurut laman sesawang kejohanan; www.worldsquashchamps.com.

Pemain Perancis berusia 31 tahun itu yang muncul sebagai naib juara tahun lepas selepas tewas kepada pemain England, Nick Matthew, akan menentang pilihan kesembilan, Omar Mosaad dari Mesir di pusingan ketiga pada Selasa.

Mosaad mengambil masa cuma 29 minit untuk mengetepikan lawannya, Karim Ali Fathi; 11-4, 11-2 dan 11-7 dalam satu lagi perlawanan pada pusingan kedua.

Keputusan perlawanan menyaksikan Ong Beng Hee menjadi satu-satunya pemain Malaysia yang akan meneruskan cabaran pada kejohanan yang menawarkan hadiah AS$325,000 (RM1.087 juta) itu. 

Beliau akan bertemu pemain Afrika Selatan, Stephen Coppinger di pusingan kedua pada Isnin.

Artikel Sebelum

Artikel Lain