suria

Piala AFF Suzuki: KJ Yakin Kemampuan Dollah

KUANTAN: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata beliau yakin dengan keupayaan yang dimiliki jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh dalam membawa pasukan itu pada saingan Piala AFF Suzuki 2014 di Singapura, bermula 23 November ini.

Katanya mana-mana pihak tidak sepatutnya meragui apa sahaja keputusan yang diambil oleh jurulatih tersebut terutamanya dari segi pemilihan pemain yang akan beraksi pada perlawanan itu nanti.

"Saya tak nak komen lebih, saya yakin jurulatih Dollah Salleh tahu apa yang dia perlu buat, jadi kita tidak perlu komen lebih-lebih...biar dia buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Fit Malaysia Pahang di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 2 di sini, Ahad.

Beliau berharap Dollah dan anak buahnya akan memberikan persembahan terbaik pada setiap perlawanan dalam kejohanan itu nanti.

Malaysia yang diundi dalam kumpulan B akan memulakan kempen kejohanan dengan berdepan Myanmar pada 23 Nov diikuti Thailand pada 26 Nov. Kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Skuad negara akan menamatkan aksi pusingan awal menentang Singapura di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub, pada 29 Nov ini.

Vietnam, yang menjadi tuan rumah bersama, akan mengetuai cabaran kumpulan A bersama tiga pasukan lain iaitu Filipina, Indonesia dan Laos.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir yang diadakan mengikut format timbal balik.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata pihaknya kini memberikan tumpuan dan keutamaan kepada pendengaran kes doping jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berbanding perkara lain.

Beliau berkata isu lain seperti cadangan menyemak semula fungsi Institut Sukan Negara (ISN) bukan menjadi keutamaan beliau pada masa ini.

"Apa pun semakan yang perlu kita buat (terhadap ISN), kita akan memberi tumpuan selepas kes perbicaraan Lee Chong Wei selesai, itu yang menjadi keutamaan kita sekarang," katanya.

Chong Wei kini digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang 'dexamenthasone' ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lepas.

Perbicaraan kes doping Lee dijangka bermula awal bulan depan.

Harimau Malaya, AFF Suzuki

Artikel Sebelum

Jadual Kelayakan Euro 2016

Artikel Berikut

Artikel Lain