suria

Usaha Berlipat Ganda Pertahan Kejayaan - Zainal Abidin

KUALA LUMPUR: Penutup tahun 2014 yang cemerlang bagi pasukan Pahang selepas menggondol lima anugerah pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2014.


Pastinya kejayaan ini memberi seribu satu semangat buat pengendali skuad Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan yang turut dipilih sebagai Ketua Jurulatih Terbaik tahun ini.

Kejayaan menjulang dua trofi berprestij tanah air, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini bukan tugas yang mudah buat jurulatih yang baharu menyambut hari kelahiran ke-53 pada 9 November lalu.

“Anugerah ini satu penghargaan besar buat saya. Terima kasih kepada presiden, keluarga Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dan khususnya kepada pemain-pemain yang menjalankan tugas dengan cemerlang serta pengorbanan tinggi.

“Segala-galanya berjalan lancar buat pasukan Tok Gajah sekarang. Sudah pasti selepas ini usaha akan berlipat ganda untuk mempertahankan segala yang ada dan cuba mencapai misi terbaik di peringkat Asia.

“Tidak lupa juga kepada penyokong-penyokong Tok Gajah yang memainkan peranan penting dalam memberi semangat kepada pasukan tanpa jemu ,” jelasnya kepada mStar Online menerusi aplikasi WhatsApp awal pagi Jumaat.

Zainal Abidin yang kini sedang bercuti di London berkata, untuk saingan musim depan, beliau gembira kerana terus diberi peluang untuk terus membimbing pasukan Pahang.

“Malah kebanyakan pemain juga memilih untuk kekal bersama Tok Gajah dan masa sama juga saya bersama pihak pengurusan masih berbincang kemungkinan untuk menambah pemain baharu.

“Namun semua itu belum pasti lagi dan buat masa sekarang saya mahu berehat seketika selepas hampir sebelas bulan bekerja keras.

"Saya mahu ‘fresh’ sebelum bermula musim baharu nanti,” katanya yang akan pulang ke tanah air pada 18 November ini.

Selain Zainal Abidin, dua pemainnya iaitu Mohd Khairul Azhan Khalid dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) dan Penjaga Gol Terbaik serta Razman Roslan Pemain Pertahanan Terbaik. Manakala PBNP sebagai Persatuan Bola Sepak Terbaik tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain