suria

FAM Yakin Skuad Harimau Malaya Mampu Bangkit

PETALING JAYA: Hampir sembilan hari menjelang kempen Piala AFF Suzuki, skuad Harimau Malaya kelihatan masih tercari-tercari rentak permainan selepas tewas 3-0 pada aksi persahabatan bertemu Syria pada Rabu malam.

Meskipun aksi serba tidak menjadi itu mengecewakan penyokong-penyokong bola sepak tempatan, namun Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyeru agar peminat tidak terlalu awal menilai dengan keputusan hambar itu.

"Sudah tentu kami di FAM juga kecewa dengan keputusan tersebut namun saya yakin mereka akan bangkit memberi sesuatu di Vietnam (perlawanan persahabatan) Jumaat ini.

"Kita mesti yakin dan berusaha untuk pasukan tersebut kerana pada aksi AFF dulu juga situasi ini pernah berlaku di mana kita kalah dalam aksi perlawanan persahabatan, namun muncul juara akhirnya.

"Tetapi itu bukan alasan, cuma saya katakan ia pernah terjadi.

"Saya ada berbincang dengan Dollah Salleh mengenai perkara ini, malah selepas perlawanan juga ada buat post-mortem bersama pengurus pasukan, Datuk Sudarsono bagi mengenal pasti kelemahan pasukan yang perlu segera diatasi," jelas Hamidin kepada media selepas Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2014, Khamis.

Menurut Hamidin, FAM dan pasukan kebangsaan menerima kritikan yang dilemparkan terhadap skuad Harimau Malaya dengan baik.

"Tekanan seperti ini sebenarnya baik untuk pasukan kerana ia memberi semangat kepada mereka untuk bangkit mempamerkan aksi lebih baik.

"Saya harap pihak media dan penyokong-penyokong terus memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan kita," jelasnya.

Pasukan Harimau Malaya diundi dalam kumpulan B akan memulakan kempen kejohanan dengan berdepan Myanmar pada 23 November diikuti Thailand pada 26 November, kedua-dua perlawanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Skuad negara akan menamatkan aksi pusingan awal menentang Singapura di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub, pada 29 November ini.

Vietnam, yang menjadi tuan rumah bersama, akan mengetuai cabaran kumpulan A bersama tiga pasukan lain iaitu Filipina, Indonesia dan Laos.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir yang diadakan mengikut format timbal balik.

Artikel Lain