suria

Kes Chong Wei: Tiada Keperluan Morgan Datang Ke Malaysia Sekarang - Khairy

Khairy Jamaluddin.
PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpandangan tiada keperluan untuk peguam Mike Morgan datang ke Malaysia sekarang walaupun pendengaran kes doping Datuk Lee Chong Wei semakin hampir.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata ini kerana peguam sukan terkemuka itu sentiasa berhubung dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memperoleh serta mengumpul maklumat untuk pembelaan kes tersebut.
 
"Saya difahamkan semua maklumat yang diperlukan oleh Morgan sedang dikumpulkan oleh pihak BAM dan Institut Sukan Negara (ISN)," katanya mengulas kemungkinan pengasas firma guaman Morgan Sports Law LLP berpangkalan di London itu akan datang ke Malaysia untuk bertemu BAM.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan perjanjian kerjasama antara KBS dengan ITE Educatioan Services, Singapura, bagi meningkatkan kualiti pengajaran serta kepimpinan dalam kalangan tenaga pengajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini, Khamis.

Mike Morgan.

Khamis lepas, Khairy mengumumkan pelantikan Morgan bagi membantu jaguh badminton negara itu berdepan dengan panel pendengaran doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
 
Sebagai rekod, Morgan dinamakan sebagai seorang daripada 20 peguam sukan yang berpengaruh dan telah merangka peraturan disiplin untuk memberi nasihat tentang siasatan antidoping.

Chong Wei kini digantung sementara oleh BWF selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang 'dexamenthasone' ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, denmark, Ogos lepas.

Dalam pada itu, Khairy berkata beliau telah meminta Unit Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) supaya meningkatkan lagi bilangan atlet yang disaring sebelum sesuatu kejohanan besar berlangsung bagi mengelak risiko gagal ujian doping berulang.

Beliau berkata saringan secara rawak terhadap atlet sukan berisiko tinggi memang dilakukan sebelum ini, contohnya hampir 30 peratus daripada atlet yang menyertai Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada Ogos dan September lepas melalui ujian itu.
 
"Memang tidak ada negara yang buat saringan 100 peratus kepada atlet mereka, cuma selepas apa yang berlaku, saya rasa kita perlu tambah sampel-sampel yang diuji dan perkara ini telah pun saya sampaikan kepada Adamas," katanya.

Mengenai harapan peminat sukan bahawa skuad bola sepak kebangsaan perlu memenangi kejohanan bola sepak Piala AFF Suzuki 2014 sebagai menutup cerita duka arena sukan negara tahun ini, Khairy berkata ia adalah tidak adil untuk berkata demikian.

Beliau berkata kejohanan Piala AFF Suzuki sama sekali tidak boleh dikaitkan dengan prestasi dan pencapaian sukan di temasya lain, malah menetapkan harapan sebegitu rupa juga merupakan perkara yang tidak adil kepada sukan bola sepak. 
 
"Nak kata kena menang Piala AFF Suzuki dulu baru boleh selamatkan semua sukan Malaysia, saya rasa ia tak adil pada mereka...itu tekanan yang terlalu luar biasa," katanya.

Kejohanan Piala AFF Suzuki akan berlangsung di Singapura bermula 23 hingga 29 Nov ini, di mana skuad Harimau Malaya, di bawah bimbingan Dollah Salleh di letakkan dalam kumpulan B bersama Myanmar, Thailand dan Singapura.

Khairy Jamaluddin, BWF, Mike Morgan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain