suria

Hormati Privasi Chong Wei - Dr Ramlan

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz menggesa pihak-pihak tertentu supaya tidak membuat sebarang ulasan lanjut sehingga panel pendengaran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membuat keputusan kes doping pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei itu.

"Adalah amat tidak sesuai untuk membuat ulasan lanjut dengan tidak menghormati prosedur BWF dan tindakan ini mungkin akan menjejaskan peluang atlet kita dalam proses sebutan kes.

"Saya benar-benar memahami dan menghormati keinginan masyarakat untuk dimaklumkan tetapi untuk mengimbangi antara keperluan dan keperluan kritikal bagi mengekalkan integriti siasatan terperinci yang dijalankan adalah perkara yang amat penting," kata Dr Ramlan dalam kenyataan di laman Facebook ISN.

Beliau berkata adalah penting bagi orang ramai menghormati privasi atlet dalam berdepan dengan cabaran besar kepada nama baik dan reputasinya.

Dr Ramlan meminta pihak-pihak tertentu tidak menyalahkan ISN secara langsung atas kegagalan mereka mengawasi sejarah pengambilan ubat oleh Chong Wei.

"Kami tidak merasa terdorong untuk memartabatkan sungutan yang negatif, tidak bertanggungjawab dan tidak produktif dengan sebarang respons kepada mereka pada ketika ini.

"Kami lebih rela untuk menumpukan usaha bagi terus membantu atlet kita dalam masa yang penuh sukar ini.

"Kami akan melakukannya dengan baik untuk menyokong atlet itu yang telah memberikan banyak kegembiraan kepada kita semua dengan hasil pencapaian selama bertahun-tahun.

"Lebih baik kami berdiri di belakangnya dan sabar menunggu proses ini diselesaikan dengan kebanyakkan persoalan jika tidak semua akan dijawab," jelas Dr Ramlan.

Chong Wei berdepan penggantungan selama dua tahun oleh Agensi Antidoping Dunia  (WADA) namun akan diberi peluang membela diri apabila Jawatankuasa PanelPendengaran BWF melakukan siasatan dalam usaha mengurangkan hukumannya.

Artikel Berikut

Artikel Lain