suria

FAM Hanya Terima 5,000 Tiket Piala AFF Suzuki

SHAH ALAM: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya menerima peruntukan 5,000 tiket daripada penganjur bagi tiga perlawanan Kumpulan B Kejohanan Piala AFF Suzuki di Singapura bermula 23 hingga 29 November ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihak penganjur telah menolak permohonan dan rayuan mereka untuk menambah jumlah jualan tiket atas faktor keselamatan.

Skuad Harimau Malaya, di bawah bimbingan Dollah Salleh, akan membuka kempen Piala AFF Suzuki dengan menentang Myanmar pada 23 Nov dan Thailand pada 26 Nov di Stadium Jalan Besar.

Perlawanan ketiga kumpulan menentang pasukan tuan rumah, Singapura, akan berlangsung di stadium baharu, Singapore Sports Hub National Stadium, pada 29 Nov ini.

Sebanyak 1,500 tiket, masing-masing untuk perlawanan menentang Myanmar dan Thailand manakala 2,000 tiket untuk perlawanan menentang Singapura akan dijual untuk peminat Malaysia, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pembangunan dan Projek Gemilang Pengadil, Ahad.

Hamidin berkata tiket Piala AFF Suzuki itu akan dijual mulai 3 petang, Rabu ini, semasa perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dan Syria di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Harga tiket untuk dua perlawanan membabitkan Malaysia di Stadium Jalan Besar di Singapura adalah $S26 (RM66.94) untuk grandstand dan S$18 (RM46.34) untuk tempat duduk galeri.

Harga tiket bagi perlawanan menentang Singapura di Singapore Sports Hub National Stadium, pula ditetapkan sebanyak $18 (RM46.34) Kumpulan B terdiri daripada Malaysia, Singapura, juara hatrik Thailand dan pemenang pusingan kelayakan, Myanmar.

Hamidin berkata FAM masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada pihak penganjur mengenai permintaan untuk mengurangkan harga tiket.

Dalam pada itu, Vietnam akan menjadi tuan rumah perlawanan Kumpulan A di Hanoi dari 22 hingga 28 Nov ini.

Selain Vietnam, pasukan lain dalam kumpulan itu terdiri daripada Filipina, Indonesia dan Laos.

Selepas perlawanan peringkat kumpulan, dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan bersaing dalam peringkat separuh akhir secara timbal balik dari 6 hingga 11 Dis.

Perlawanan akhir dua pusingan akan berlangsung pada 17 dan 20 Dis ini.

Piala Suzuki AFF, tiket, singapura

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain