suria

West Ham 2-1 Man City: Aguero Berdepan Hukuman FA

Aguero melakukan bentesan lambat terhadap Mark Noble dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pada Sabtu.

PENYERANG Manchester City, Sergio Aguero boleh dikenakan tindakan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) selepas dikesan melakukan bentesan keras terhadap pemain West Ham, Mark Noble dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pada Sabtu.

Kekasaran yang gagal dikesan oleh pengadil perlawanan, Martin Atkinson bagaimanapun dapat dilihat dengan jelas menerusi siaran televisyen.

Berikutan itu, bintang Argentina terbabit boleh dikenakan tindakan daripada FA sekiranya kekasaran itu diulang tayang.

Pengendali West Ham, Sam Allardyce yang tidak berpuas hati terhadap kekasaran itu berkata," Mark telah membuat aduan berikutan kekasaran berkenaan. Ia kekasaran yang berbahaya dan pengadil ada di depan ketika itu."

Jika FA mengambil keputusan untuk menghukum Aguero, penyerang terbabit bakal terlepas tiga perlawanan termasuk menentang Manchester United pada Ahad depan.

Dalam perlawanan antara West Ham menentang City, anak didik Allardyce berjaya menewaskan pasukan pelawat 2-1.

Berikutan kekalahan itu, City kini menghuni tangga ketiga carta liga di belakang Southampton dengan mengumpul 17 mata.



Artikel Lain