suria

Separuh Akhir Piala Malaysia: JDT Layak Ke Akhir, Menang Agregat 6-5

Pemain Johor Darul Takzim (JDT), Jorge Pereyra Diaz (tengah) diasak pemain pertahanan KL Felda United, Shahrulnizam Mustapa (kiri) dan Indra Putra Mahyuddin (kanan) pada perlawanan timbal-balik Piala Malaysia, di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, di sini malam Ahad. -Foto BERNAMA.

JOHOR BAHARU: Johor Darul Ta'zim (JDT) mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Felda United 3-1 pada pusingan separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini malam Ahad.

JDT mara dengan agregat 6-5 selepas terlebih dahulu tewas 3-4 pada separuh akhir pertama di Stadium Selayang, Isnin lalu.

JDT yang juga juara Liga Super musim ini, akan bertemu Pahang pada perlawanan akhir, 1 November ini.

Pada aksi menentang Felda United, kedua-dua pasukan tampil dengan aksi menarik namun skuad bimbingan Bojan Hodak terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-29 menerusi tendangan percuma di luar kotak penalti yang disempurnakan pemain import, Luciano Gabriel Figueroa.

Namun, kegembiraan pasukan tuan rumah tidak lama apabila Felda United menyamakan kedudukan enam minit kemudian.
 
Gol Felda United disempurnakan Mohd Raimi Mohd Noor selepas menerima hantaran lintang Makeche Ndumba pada minit ke-35.

Masuk babak kedua, JDT dan Felda United masing-masing menggandakan asakan ke kubu lawan.

Namun, Figueroa sekali lagi menceriakan lebih 30,000 penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-63 selepas menerima hantaran cantik Jorge Pereyra Diaz.
Skuad Harimau Selatan terus mengukuhkan kedudukan apabila Amri Yahya menjaringkan gol ketiga JDT pada minit ke-71.

Namun, JDT terpaksa membayar harga tinggi dengan kemenangan tersebut apabila kapten pasukan, Mohd Aidil Zafuan bakal terlepas aksi final apabila digantung perlawanan selepas menerima dua kad kuning menerusi kedua-dua aksi separuh akhir.

Aidil menerima kad kuning kedua pada minit ke-66. 

Dua lagi kad kuning turut dilayangkan pada minit ke-81 dan min ke-88 kepada pemain Felda United Zah Rahan Krangar dan pemain JDT Marcos Antonio, masing-masing akibat mengasari pasukan lawan.

Perlawanan sedikit kecoh pada masa kecederaan sehingga memaksa pengadil Suhaizi Shukri melayangkan kad merah kepada pemain JDT, Mohd Nazrin Mohd Nawi dan pemain Felda United, Abdul Latiff Suhaimi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jadual Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain