suria

Southampton Malukan Sunderland Dengan Jaringan 8-0

Pemain-pemain Sunderland kelihatan kecewa selepas tewas 8-0 kepada Southampton.
SOUTHAMPTON memalukan pasukan pelawat, Sunderland dengan jaringan 8-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di St Mary, Sabtu malam.

Pemain Sunderland, Santiago Vergini menghadiahkan jaringan pertama kepada tuan rumah dengan gol sendiri pada minit ke-12.

Enam minit kemudian Grazio Pelle (m-18) menambah gol kedua Southampton sebelum Jack Cord menyumbat gol ketiga pada minit ke-37.

Babak malang sekali lagi terjadi selepas pemain Black Cats, Liam Bridcutt pula menyumbat gol sendiri pada minit ke-63 sekaligus mengukuhkan kedudukan Southampton dengan empat jaringan.

Tidak cukup dengan jumlah itu, Pelle sekali lagi menambah gol kedua peribadi perlawanan ini dan kelima buat pasukan bimbingan Ronald Koeman itu.

Namun tiga lagi gol hasil jaringan Dusan Tadic (78’), Victor Wanyama (79’) dan Sadio Mane (86’) menjadikan The Saints melakar sejarah tersendiri apabila pertama kali mencatat kemenangan besar lapan gol ke atas Sunderland dalam aksi liga.

Manakala kali terakhir mereka menang dengan jumlah yang sama pada Disember 1921 apabila menewaskan tuan rumah, Northampton Town. Dan selepas 93 tahun, Southampton merekodkan kemenangan terbesar mereka ini di laman sendiri bersama penyokong-penyokong setia mereka.

Dalam pada itu, kekalahan memalukan skuad kendalian Gus Poyet ini juga turut mencalarkan rekod bersih tanpa kalah Sunderland ke atas Southampton dalam lapan pertemuan aksi liga dan piala liga keseluruhan sebelum ini.

Sementara itu pemain tuan rumah, Tadic dipilih sebagai ‘Man Of The Match’ selepas menjadi pembantu kepada penjaring untuk empat gol dan turut menyumbat satu jaringan pada babak kedua.

Kemenangan ini juga mengukuhkan kedudukan Southampton di tangga ketiga liga (16 mata) dengan ketinggalan satu mata di belakang Manchester City.

Sebagai rekod, hanya dua pasukan sahaja yang berjaya meraih jaringan terbesar dalam aksi Liga Perdana setakat ini, iaitu Manchester United menewaskan Ipswich 9-0 pada tahun 1995 dan Tottenham menang 9-1 atas Wigan pada tahun 2009.

Selain Southampton, kelab Chelsea juga pernah meraih kemenangan 8-0 ke atas Wigan (2010) dan Aston Villa pada tahun 2012.

Senarai Pemain:

Southampton: Forster, Clyne, Alderweireld, Fonte, Bertrand, S. Davis, Schneiderlin, Cork, Long, Pelle, Tadic (simpanan):  Mane, Wanyama, Mayuka.

Sunderland: Mannone, Vergini, O'Shea, Brown, van Aanholt, Cattermole, Buckley, Larsson, Jordi Gomez, Wickham, Fletcher (simpanan) : Bridcutt, Rodwell, Johnson.

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Kejuaraan

Artikel Lain