suria

Nicol Hampiri Gelaran Hatrik Terbuka AS

Nicol David.
KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David kini selangkah untuk meraih gelaran hatrik Terbuka Amerika Syarikat apabila mara ke perlawanan akhir di Universiti Drexel, Philadelphia.

Pemain nombor satu dunia itu, yang memenangi kejuaraan berkenaan pada 2012 dan 2013, bagaimanapun terpaksa berhempas pulas sebelum mengatasi musuh ketatnya Raneem El-Weleily dari Mesir 11-3, 15-13, 6-11 dan 11-7 pada aksi separuh akhir di Gelanggang Kaca ASB pada Jumaat.
 
"Beliau (Raneem) tidak bermula baik namun saya tahu beliau akan bangkit dengan pukulan-pukulan berbisa. Saya hanya perlu kekalkan permainan dan berusaha keras. Saya gembira dengan kemenangan 3-1 itu," kata Nicol seperti dipetik dalam laman rasmi kejohanan www.usopensquash.com.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 31 tahun itu akan membuat perhitungan menentang pemain sensasi Mesir berusia 18 tahun, Nour El Sherbini di perlawanan akhir pada Sabtu.

Nour, pemain pilihan ketujuh, meneruskan aksi cemerlang apabila mengalahkan pemain pilihan keempat, Camille Serme dari Perancis 7-11, 11-9, 11-8 dan 11-8 pada satu lagi aksi separuh akhir.

Bekas juara remaja dunia itu, sebelum ini menumpaskan pilihan kedua yang juga pemain nombor dua dunia, Laura Massaro dari England di suku akhir pada Khamis.



Artikel Lain