suria

United Tidak Patut Pecat Saya - Moyes

Moyes menganggap United membuat keputusan tidak betul dengan memecatnya.

BEKAS pengurus Manchester United, David Moyes percaya kelab itu gagal 'melakukan perkara betul' apabila memecatnya selepas kurang 10 bulan mengendalikan skuad itu.

Pengurus kelahiran Scotland ini mencatat keputusan mengecewakan ketika berada di Old Trafford, dengan berada di kedudukan ketujuh keseluruhan musim lalu sekaligus menjadi era terburuk United dalam Liga Perdana Inggeris.

Bagaimana pun, Moyes tetap menganggap kelab itu patut meletakkan kepercayaan kepadanya.

"Saya mendapat jawatan itu dan menjangkakan akan berada dalam perancangan enam tahun. Saya menandatangani kontrak enam tahun...namun kecewa kerana sebaliknya berlaku," jelasnya kepada BBC.

"Saya juga yakin mampu melengkapkan peluang ini, namun berlaku sesuatu yang tidak dijangkakan.

"Keadaan saya begitu sukar ketika kehilangan tugas ini kerana saya tidak jangkakan ia berlaku, lebih sukar daripada tewas perlawanan.

"Namun saya sedar kesukaran yang dihadapi apabila menguruskan kelab ini yang saya jangkakan mereka akan sentiasa berada di belakang pengurus walaupun berdepan dengan situasi teruk.

"Sir Alex Ferguson juga menghadapi waktu sukar ketika pertama kali membimbing pasukan ini.

"Saya faham situasi bola sepak sudah berubah, namun saya percaya United sentiasa melakukan perkara betul dan itu tidak berlaku kepada saya".

Walaupun berdepan dengan pengalaman pahit itu, Moyes tidak berputus ada dan cuba mencari kelab yang mahukan perkhidmatannya.

"Saya gembira dengan 'waktu rehat' itu, tetapi saya perlu bangkit dan mencari tugas yang bersesuaian dan memastikan ia benar-benar tepat dengan saya.

"Saya sesekali tidak akan tinggalkan Everton untuk orang lain. Saya mempunyai cita-cita tinggi dan yakin Manchester United boleh memberi peluang besar dalam kerjaya saya.

"Saya bukanlah seorang yang materialistik dan berharap mana-mana kelab yang akan saya sertai nanti boleh memberi peluang kepada saya untuk membina pasukan sendiri, kerana saya yakin itu adalah kelebihan saya.

"Ada beberapa orang menghubungi saya menawarkan pekerjaan. Namun setakat ini tidak ada yang serius menyerahkan tugas pengurus kepada saya," tambah Moyes.

David Moyes, Manchester United

Artikel Sebelum

Artikel Lain