suria

Lami, Lechner Kuasai LIMBC 2014 Menjelang Peringkat Akhir Esok

Pelumba Elit Wanita, Eva Lechner dari Colnago Sudtirol pantas mengambil selekoh curam pada cabaran peringkat keempat Langkawi Geopark (XCO) sejauh 20.5 kilometer pada LIMBC 2014 di sini, Jumaat.
LANGKAWI: Pelumba Slovakia, Michal Lami dan Eva Lechner dari Itali masing-masing memiliki kelebihan masa yang berbeza untuk muncul juara dalam kategori lelaki dan wanita elit menjelang peringkat akhir Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) 2014 di sini, Sabtu.


Biarpun menduduki tempat kedua pada saingan peringkat keempat pada Jumaat, Lami merampas jersi kuning, selaku pendahulu, daripada pelumba Jerman, Karl Platt dengan kelebihan satu minit 15.60s.

Selepas empat peringkat, Lami, yang mewakili pasukan kebangsaan Slovakia, mengumpul catatan masa 8 jam 45 minit 18.50 saat, manakala Platt jatuh ke tangga kedua dengan 8:46:34.10s.

Pada peringkat keempat sejauh 24.6km, pelumba Switzerland, Fabian Giger muncul juara dengan catatan masa 1:11:14.40s manakala Lami ketinggalan 4.10 saat di tangga kedua.

Platt, yang mewakili pasukan Bulls, pula menduduki tangga kelima dengan catatan masa 1:13:31.50s.

Berdasarkan prestasi di tahap terbaik, Lami yakin dapat mempertahankan jersi kuning pada peringkat kelima dan terakhir Sabtu, sekali gus dinobatkan sebagai juara edisi kali ini.

"Harap tidak ada masalah teknikal supaya dapat mengekalkan kedudukan pendahulu sehingga akhir," katanya.

Lami berkata, beliau tidak berhasrat untuk menewaskan Giger kerana pencabar utamanya adalah Platt.

"Esok (Sabtu) saya perlu berusaha keras untuk memastikan Platt berada di belakang," katanya.

Sementara itu, Giger, yang menduduki tangg ketiga keseluruhan dengan ketinggalan 3 minit 38.6 saat di belakang Lami, mengakui sukar untuk merampas jersi kuning.

Malah, pemenang dua peringkat itu berkata, beliau hanya menumpukan perhatian untuk memenangi hatrik pada Sabtu.

Bagi kategori Wanita Elit, Lechner, meneruskan aksi cemerlang untuk memenangi peringkat keempat sejauh 20.5km dengan catatan masa terpantas 1:11:17.70s.

Kejayaan itu membolehkan beliau mempertahankan jersi merah jambu yang diperolehinya selepas menang peringkat ketiga semalam, dengan catatan masa keseluruhan 8:45:07.00s.

Lechner mendahului saingan dengan kelebihan masa sembilan minit 50.6 saat daripada pencabar terdekat Tanja Zakelji dari Slovenia, yang menduduki tempat ketiga pada peringkat keempat.

Pelumba pasukan kebangsaan Slovenia, Blaza Klemencic berada di tempat kedua pada peringkat keempat dengan catatan masa 1:12:45.40s untuk menempatkan diri di tangga ketiga keseluruhan.

Lechner berkata, beliau akan cuba mempertahankan jersi merah jambu tetapi semuannya bergantung kepada perlumbaan terakhir Sabtu.

Katanya, untuk peringkat akhir, Klemencic dan Zakelj bakal menjadi pesaing terhebatnya kerana masing-masing cuba merampas kedudukannya.

Esok, pelumba akan menghadapi cabaran peringkat kelima dan terakhir di Pantai Lagenda sejauh 1.6 km.

Edisi kelima LIMBC 2014 yang bermula Isnin hingga esok, menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$150,000 (RM500,000).


Michal Lami, Eva Lechner, LIMBC

Artikel Lain