suria

Bekas Pengurus Chelsea Roberto Di Matteo Dilantik Pengurus Kelab Jerman Schalke

Di Matteo kini menyandang jawatan baru di Schalke 04, dua tahun selepas dipecat Chelsea.

> Ia adalah jawatan Di Matteo yang pertama sejak dipecat Chelsea dua tahun lalu

> Di Matteo masih dibayar £130,000 seminggu oleh Chelsea sehingga Jun lalu

> Pengurus berusia 44 tahun itu ambil alih jawatan Jens Keller

> Kelab Bundesliga itu kini berada di tangga ke-11

> Di Matteo tanda tangan kontrak tiga tahun

> Schalke akan bertemu Chelsea dalam Liga Juara-Juara 25 November ini

BEKAS pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo telah dilantik sebagai pengurus baru kelab Jerman, Schalke 04 berkuatkuasa serta merta selepas kelab Bundesliga itu memecat pengurus mereka Jens Keller ekoran prestasi buruk sejak musim baru bermula.

Pengurus asal Itali yang berusia 44 tahun itu mencatat sejarah sebagai pengurus Chelsea yang pertama berjaya membawa pulang Piala Eropah ke kelab London itu pada musim 2012.

Bagaimanapun dia dipecat beberapa bulan kemudian selepas gagal mengekalkan prestasi Chelsea dipembukaan musim 2012-13. Tempat Di Matteo kemudiannya diambil alih oleh Rafa Benitez sehingga tamat musim berkenaan.

Sejak dipecat Chelsea pada November 2012, Di Matteo tidak menyandang apa-apa jawatan - sebahagian besarnya kerana dia masih dibayar gaji sebanyak £130,000 seminggu oleh Chelsea sehingga Jun lalu kerana penamatan awal kontraknya.

Di bawah perjanjian tersebut, bayaran gajinya akan dengan sendirinya terbatal jika Di Matteo menerima tawaran kerja dengan mana-mana kelab. Namun Di Matteo tidak berkhidmat dengan mana-mana kelab sehinggalah dilantik oleh Schalke.

Dia kini menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan kelab Jerman itu.

Ironinya, pada 25 November depan, Di Matteo akan memimpin kelab barunya ini menentang kelab lamanya Chelsea dalam persaingan Liga Juara-Juara di gelanggang sendiri iaitu Gelsenkirchen.

Schalke di bawah Keller, hanya terdaya mengutip lapan mata daripada tujuh perlawanan permulaan liga musim ini.

Mereka tewas 2-1 di tangan Hoffenheim, Sabtu lalu dan disingkirkan oleh kelab Divisyen 3, Dynamo Dresden dalam saingan Piala Jerman baru-baru ini.

Keller memimpin Schalke sejak Disember 2012 sehinggalah dipecat pada Selasa.

Kelab itu kini berada di tangga ke-11 liga.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain