suria

Lebih 4,000 Rebut Hadiah AS$150,000 BII Maybank Bali Maraton 2014

Uniknya, gajah menyampaikan kalungan bunga kepada pemenang BII Maybank Bali Maraton di Gianyar tahun lalu.
PETALING JAYA: Lebih 4,000 peserta dari 43 negara bakal bersaing merebut hadiah wang tunai AS$150,000 yang ditawarkan BII Maybank Bali Maraton 2014 yang akan berlangsung di Gianyar, Bali, Ahad ini.


Daripada jumlah itu, lebih 230 adalah rakyat Malaysia yang tidak ketinggalan menyertai perlumbaan yang dibahagikan kepada tiga kategori; maraton penuh yang meliput jarak larian sejauh 42.195 kilometer (km), separuh maraton (21.0975 km) dan 10 km. 

Laluan maraton ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa iaitu daripada Persatuan Larian Jarak Jauh dan Maraton Antarabangsa (AIMS).
 
BII Maybank Bali Maraton yang diperkenalkan pada 2012 telah berkembang menjadi satu daripada acara marathon yang dinanti-nantikan di rantau ini.

Presiden merangkap Pengarah BII, Taswin Zakaria nyata berpuas hati dengan keseluruhan penyertaan yang meningkat hampir 50 peratus berbanding 3,000 penyertaan tahun lalu.

"Bilangan ini petanda yang bahawa bahawa acara ini kian popular dan semakin mendapat sambutan ramai. Saya mengalu-alukan kehadiran semua peserta di Bali, terutamanya daripada negara jiran iaitu Malaysia, ke acara berprestij ini," katanya.

Taswin menambah, suasana persekitaran laluan yang indah serta pengalaman budaya 
yang unik yang ditampilkan menjadi faktor yang membezakan BII Maybank Bali Maraton berbanding acara yang sama di tempat lain. 

Menariknya, peserta berpeluang melihat persembahan tradisional Bali yang diadakan di sepanjang laluan dan perkampungan maraton itu.

BII Maybank Bali Maraton tahun ini dimasukkan ke dalam buku panduan Boston Marathon.

“Ini bermakna, peserta yang dapat menyudahkan larian BII Maybank Bali Maraton dalam tempoh yang ditetapkan akan dibenarkan mendaftar untuk Boston Marathon yang juga acara maraton keenam berprestij dalam siri jelajah “World Major Marathon”, jelas Taswin.

Mengekalkan tema “Push Your Limit”, acara ini bertujuan mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat terhadap pentingnya mengamalkan kehidupan sihat dan berusaha mencapai kejayaan lebih besar dalam kehidupan setiap insan.

Taswin berkata, acara maraton ini dianjurkan selari dengan misi Kumpulan Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan kerana ia turut digabungkan dengan program Tanggungjawab Korporat (CR) Kumpulan bagi menyokong sekolah dan komuniti di Gianyar.

Tahun ini, aktiviti CR turut dilengkapkan dengan panganjuran pertandingan amal mewarna di 24 buah sekolah tadika di sepanjang laluan marathon. Dana yang dikumpulkan akan di sumbangkan kepada sekolah berkenaan.


maraton, Bali, Maybank

Artikel Berikut

Artikel Lain