suria

Van Gaal Jelaskan Mengapa Man Utd Jual Danny Welbeck

Danny Welbeck (dua dari kanan) bersama rakan-rakan baru di Arsenal.

PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal menjelaskan, penyerang England Danny Welbeck dijual kepada Arsenal kerana pemain itu tidak setanding dengan keupayaan Wayne Rooney, Robin Van Persie serta Radamel Falcao dalam menjaringkan gol.

Tegas Van Gaal, Welbeck, hanya sekadar mencatatkan 29 jaringan gol sahaja daripada 142 perlawanan keseluruhannya untuk United berbanding nisbah gol yang dihasilkan Wayne Rooney atau Robin van Persie.

"Tentang Falcao jangan cakaplah...rekod jaringan golnya di mana sahaja dia bermain adalah luar biasa. Semasa latihan pertamanya bersama saya semalam, dalam sentuhan pertamanya sahaja dia telah menjaringkan gol. Itu adalah Falcao," ujarnya dalam sidang akhbar untuk memperkenalkan Falcao dan seorang lagi pemain baru iaitu pemain terbaik Belanda 2013 - Daley Blind pada Khamis.

Van Gaal menegaskan yang dia telah memberi peluang kepada semua pemain termasuk pemain-pemain muda untuk menunjukkan apa yang mereka boleh tawarkan.

"Anda bertanya mengapa United menjual Danny Welbeck, dan ini adalah jawapan saya...Dia telah berada di kelab ini sejak berusia sembilan tahun dan selepas dipinjamkan kepada Sunderland Danny telah bermain selama tiga musim di sini tetapi malangnya dia tidak memiliki rekod pencapaian yang dimiliki oleh Van Persie atau Rooney dan itulah standard yang kita mahukan di kelab ini dan itulah juga mengapa kami membenarkan dia berhijrah ke kelab lain.

"Tetapi untuk mengatakan dengan menjual Danny bermakna telah berakhirnya era dan masa depan pemain-pemain muda dan akademi adalah tidak benar sama sekali. Saya ingin tegaskan yang ini tidak akan berlaku di Manchester United. Ia adalah polisi Manchester United dan ia juga adalah sebab mengapa saya berada di sini sekarang iaitu untuk memberi peluang kepada bakat-bakat muda untuk menyerlah.

"Sepanjang saya berada di sini, saya telah bercakap dengan Danny Welbeck dan juga Chicharito [Javier Hernandez] sebelum Manchester United membawa masuk Falcao. Saya telah membuka peluang kepada mereka untuk membuktikan kebolehan mereka terlebih dahulu," ujarnya.

Oleh hal yang demikian, pengurus asal Belanda itu sekaligus menafikan yang Manchester United telah mengenepikan polisi membimbing dan memberi peluang kepada pemain-pemain akademi sepertimana yang dilakukan oleh Sir Alex Ferguson sepanjang tempoh 26 tahun dia bersama kelab tersebut.

United dibawah Van Gaal telah membelanjakan £150 juta pada musim panas ini untuk membawa enam pemain bertaraf dunia termasuklah pemain sayap Argentina dan Real Madrid, Angel di Maria dan penyerang Columbia serta AS Monaco, Radamel Falcao dalam usaha mereka untuk kembali ke pertandingan Eropah musim depan.

Mereka perlu berakhir sekurang-kurangnya di tangga keempat untuk layak ke pertandingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Bekas-bekas pemain dan juga jurulatih United telah melahirkan kebimbangan mereka, kehadiran pemain-pemain ternama serta penjualan Welbeck dengan harga £16 juta kepada Arsenal akan menyaksikan berakhirnya era serta peluang pemain-pemain akademi untuk bersaing dalam skuad utama.

Welbeck sepertimana David Beckham, Paul Scholes, Gary dan Phil Neville, Nicky Butt dan penolong pengurus sekarang, Ryan Giggs adalah produk akademi kelab berkenaan yang kemudiannya muncul sebagai bintang-bintang ternama yang menjadi tunjang kekuatan Manchester United selama lebih 10 tahun.

Tegas Van Gaal lagi kemunculan bintang-bintang ternama dunia bukan untuk menidakkan polisi membangunkan pemain-pemain akademi tetapi sebaliknya adalah untuk memastikan United kembali dengan segera di dalam kelompok elit kelab bolasepak Eropah dan dunia.

United menduduki tangga ketujuh di bawah bimbingan David Moyes musim lalu dan kegagalan mereka untuk bersaing dalam liga Eropah musim ini akan menyaksikan mereka kehilangan pendapatan sehingga £50 juta dalam bentuk royalti penyiaran siaran langsung, hadiah kemenangan serta kutipan jualan tiket.

Van Gaal juga menegaskan, barang diingat bahawa sejak musim baru ini bermula, 14 pemain telah meninggalkan United sama ada secara pinjaman atau kekal dan mereka hanya membawa masuk enam pemain baru.

Oleh yang demikian, katanya, terdapat lapan lagi kekosongan tempat untuk direbuti oleh pemain-pemain muda.

James Wilson yang muncul wira muda dalam perlawanan terakhir musim lalu yang menyaksikannya menjaringkan dua gol dalam perlawanan pertamanya bersama pasukan senior perlu bersaing untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Welbeck.\

Kata Van Gaal, Jesse Lingard dan Tyler Blackett masing-masing telah membuktikan yang mereka mampu bersaing dengan pemain-pemain senior dalam tiga perlawanan pertama musim ini.

PERBANDINGAN KEUPAYAAN TIGA PENYERANG UNITED MENYUMBAT GOL MUSIM LALU

ROBIN VAN PERSIE: 59 perlawanan/38 gol

WAYNE ROONEY: 56 perlawanan/29 gol

DANNY WELBECK: 52 perlawanan/10 gol

Artikel Lain