suria

Kejohanan Badminton Dunia: Simon Terpaksa Tarik Diri Gara-Gara Demam Denggi

KUALA LUMPUR: Peluang pemain no.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei merebut gelaran pertama Kejohanan Badminton Dunia lebih luas apabila pemain pilihan kelapan, Simon Santoso menarik diri daripada beraksi.

Simon diundi bersama Chong Wei pada aksi bermula 25-31 Ogos ini di Copenhagen mengalami demam denggi. Dia dimasukkan ke hospital pada Isnin malam.

Pemain Indonesia itu hanya mengesahkan untuk menyertai kejohanan ini minggu lalu, menggantikan pemain China yang mengalami kecederaan Du Pengyu.

Simon merupakan salah seorang daripada empat orang pemain yang menewaskan Chong Wei dalam tempoh 12 bulan ini. Dia mencatat 21-15,21-10 kemenangan ke atas jaguh Malaysia ini pada aksi final Terbuka Singapura April lalu.

Selain Santoso, pemain China, Lin Dan, Chen Long dan bintang Jepun, Keinichi Tago yang pernah mengalahkan Chong Wei.

Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) bukan sahaja terpaksa mengeluarkan nama Simon, malah juara beregu mereka, Mohd Ahsan dan Hendra Setiawan juga tidak beraksi.

Pegawai perhubungan PBSI Bambang Rudy Roedyanto berkata, pasangan no.1 dunia itu mengalami kecederaan teruk di bahagian belakang.

"Ia satu bencana kepada kami, apa yang boleh saya cakap. Kami akan berlepas pada pagi Khamis dan tidak ada pilihan lain (mengeluarkan mereka). Mereka tidak boleh bermain," jelas Bambang di laman Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pada awal Jun lalu, juara bertahan beregu campuran mereka Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir terpaksa menarik diri daripada kejohanan ini kerana Tontowi mengalami kecederaan buku lali.

Artikel Lain