suria

Suarez Akhirnya Turun Padang Berlatih Bersama Barca

Buat pertama kalinya sejak berakhirnya Piala Dunia Luis Suarez berpeluang beraksi dengan pasukan barunya Barcelona.

PENYERANG kontroversi, Luis Suarez akhirnya turun berlatih bersama-sama rakan sepasukannya di Barcelona selepas menerima lampu hijau daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan Eropah.

Pemain Uruguay berusia 27 tahun itu sebelum ini telah digantung empat bulan dari sebarang perlawanan kompetatif oleh badan bolasepak dunia, Fifa setelah didapati bersalah mengigit bahu pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini di Piala Dunia Brazil, Julai lalu.

Bagaimanapun rayuannya kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan kelmarin menyaksikan, dia dibenarkan untuk turut berlatih semula walaupun mahkamah menolak hukumannya dipendekkan.

Sejak itu Suarez terpaksa memanaskan badan seorang diri walaupun perpindahannya dari Liverpool ke Barcelona yang berjumlah £75 juta telah dimeteraikan sebaik sahaja temasya Piala Dunia berakhir.

Mahkamah itu juga memutuskan yang Suarez dibenarkan untuk diperkenal secara rasmi oleh Barcelona sebagai pemain mereka. Ia dijadualkan berlangsung Isnin depan.

Suarez juga telah dibenarkan mengambil bahagian dalam semua perlawanan persahabatan dan ini membolehkannya turun beraksi dalam perlawanan menentang Leon FC dalam kejohanan persahabatan Piala Joan Gampher di Nou Camp, petang Isnin.

Pemain itu masih tidak dibenarkan mewakili Uruguay dalam lapan perlawanan kompetatif dan dengan itu akan terlepas beraksi dalam perlawanan peringkat kelayakan Piala America dan juga Piala Dunia.

Suarez telah terlibat dalam tiga insiden mengigit pemain lawan sepanjang kariernya.

Ketika dia bersama Ajax, Suarez telah mengigit pemain PSV Eindhoven, Otman Bakkal pada November 2010 dan ketika mewakili Liverpool dia telah mengigit pemain pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic di lengan pada April 2013.

Artikel Lain