suria

Penerjun Negara Masih Ada Peluang Raih Pingat

Ooi Tze Liang berjaya meraih pingat emas dalam acara terjun tiga meter papan anjal pada Jumaat.
EDINBURGH: Penerjun negara yang beraksi di Sukan Komanwel ke-20 di sini masih berpeluang untuk meraih pingat pada hari terakhir acara terjun dipertandingkan pada Sabtu, kata Setiausaha Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) Edwin Chong.

"Secara keseluruhan sudah ada peningkatan prestasi dikalangan penerjun kita terutama penerjun baru. Saya boleh katakan, skil mereka telah meningkat dengan baik.

Untuk hari terakhir acara terjun di Sukan Komanwel ini, atlet kita kena betul-betul fokus dan tidak melakukan kesilapan dalam terjunan mereka. Semua mereka tahu, jika buat sedikit kesilapan sahaja, ia boleh menggugat markah mereka," katanya.

Chong, yang bertindak sebagai pengurus pasukan terjun di temasya kali ini, berkata peningkatan prestasi atlet terjun telah dapat dilihat dalam banyak kejohanan antarabangsa.

"Jika dahulu, kita susah hendak jangka sama ada kita mampu menang pingat atau tidak tetapi sekarang, mereka telah buktikan bahawa mereka mampu meraih pingat di kejohanan antarabangsa," katanya.

Menyentuh mengenai penyertaan di temasya Sukan Komanwel kali ini, Edwin berkata dalam setiap acara, penerjun negara berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir khususnya dalam acara individu.

"Jika kita hantar tiga penerjun pada pusingan kelayakan, ketiga-tiga mereka berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir. Dahulu, perkara seperti ini sukar berlaku," katanya.

Kontinjen negara masih berpeluang untuk meraih pingat menerusi acara 3m papan anjal individu wanita dan 10m platform individu lelaki pada Jumaat.

terjun, Sukan Komanwel

Artikel Lain