suria

Jing Yi Lakar Kejutan, Mara Ke Separuh Akhir

Jing Yi mara ke pusingan separuh akhir perseorangan wanita. - foto GLENN GUAN/The Star
GLASGOW: Pemain perseorangan badminton wanita negara Tee Jing Yi membuat kejutan pada penampilan sulung di Sukan Komanwel dengan meraih tiket ke separuh akhir di Emirates Arena, di sini pada Jumaat.

Jing Yi menerima tentangan sengit daripada pemain India, P C Thulasi dan tewas 18-21 pada set pertama sebelum bangkit pada dua set seterusnya, 21-19 dan 21-19 dalam masa 73 minit.

Pada perlawanan seterusnya Jing Yi akan berjumpa pemain tuan rumah Kirsty Gilmour pada Sabtu, 9 pagi waktu tempatan (4pm waktu Malaysia). 

Gilmour mengetepikan Michelle Chan dari New Zealand 21-9 dan 21-10 dalam satu lagi perlawanan.

"Saya sangat gembira mara ke separuh akhir. Saya banyak buat kesilapan pada set pertama tetapi pada set kedua dan ketiga saya memang 'berjuang' untuk menang.

Saya jadi lebih bersemangat untuk menang selepas tahu Wei Feng (Chong Wei Feng) kalah...sebab hanya tinggal saya seorang sahaja bagi acara perseorangan di sini," katanya kepada pemberita.

Selain Jing Yi, turut layak ke separuh akhir ialah beregu lelaki, beregu campuran dan beregu wanita negara. 

Beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem menewaskan Ross Smith dan Robin Middleton dari Australia dengan straight set 21-17 dan 21-19 manakala beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Lai Pei Jing menewaskan pencabar mereka Danny Chrisnanta dan Vaneesa Neo dari Singapura 21-18, 17-21 dan 21-19.

Peng Soon dan Pei Jing akan berjumpa Chris Langridge-Heather Olver dari England pada perlawanan seterusnya, Sabtu.

Beregu wanita negara Lim Yin Loo-Lai Pei Jing menewaskan Shinta Mulia Sari-Lei Yao dari Singapura dengan 19-21, 22-20 dan 21-19.

Yin Loo dan Pei Jing akan bertemu beregu India Jwalla Gutta-Ashwini Ponnappa pada perlawanan seterusnya.

Bagi Wee Kiong beliau dan pasangannya V Shem perlu memberikan aksi lebih agresif pada perlawanan seterusnya menentang beregu lelaki dari England iaitu Andrew Ellis dan Chris Adcock.

"Hari ini kami tidak bermain dengan baik dan beregu Australia sangat kuat, bola mereka tajam. Pada set kedua fokus saya terganggu sekejap tetapi kami berjaya menewaskan mereka," kata Wee Kiong.
Sukan Komanwel, Tee Jing Yi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain