suria

Gandingan Tiga Hari Pandelela-Nur Dhabitah Tuai Pingat Gangsa

Pandelela (kiri) dan pasangannya Nur Dhabitah menunjukkan pingat gangsa yang dimenangi mereka dalam acara 10 meter platform seirama di Sukan Komanwel kali ke-20 Glasgow di Edinburgh pada Rabu. Foto BERNAMA

EDINBURGH: Biarpun hanya tiga hari digandingkan untuk acara 10m platform seirama, pasangan Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri berjaya meraih pingat gangsa pada temasya Sukan Komanwel ke-20 di sini, Rabu.

Dalam saingan akhir di kolam renang Royal Commonwealth, gandingan Pandelela-Nur Dhabitah mengumpul 300.12 mata.

"Ini pencapaian yang di luar jangkaan. Kami hanya berlatih selama tiga hari di sini. Saya akui saingan di sini agak sukar dengan jaguh-jaguh dunia seperti Kanada dan England," kata Pandelela.

Menurut beliau semasa pertandingan berlangsung, kedua-dua mereka langsung tidak melihat papan markah dan hanya fokus kepada terjunan yang berikutnya.

Selepas menamatkan terjunan keempat, Pandelela dan Nur Dhabitah mengekori pendahulu di kedudukan kedua.

Mengenai gandingan beliau bersama Nur Dhabitah, Pandelela berkata: "Gandingan pilihan dalam acara ini ialah Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong kerana mereka berlatih untuk sekian lama...jadi jurulatih membuatkan saya berganding dengan Dhabitah.

"Kami agak gementar pada mulanya kerana bersaing dengan juara dunia seperti penerjun Kanada... tetapi ini memberi pengalaman baik untuk kami berdua," katanya.

Bagi Nur Dhabitah, yang pertama kali beraksi di Sukan Komanel, memenangi pingat gangsa adalah sesuatu yang sangat berharga buat dirinya.

"Saya rasa sangat gembira dan tidak menyangka dapat meraih pingat. Saya berharap kemenangan ini akan memberi semangat kepada saya untuk acara yang berikutnya," katanya.

Pingat emas acara itu dimenangi Meaghan Benfeito dan Roseline Filion dari Kanada dengan 310.65 mata dan pingat perak pula diraih Sarah Barrow dan Tonia Couch dari England dengan 307.92 mata.

Sementara itu, satu lagi pasangan negara, Mun Yee dan Jun Hoong menduduki tempat keempat dengan 298.92 mata.

Pada sesi sebelah petang, penerjun Malaysia akan beraksi dalam dua acara akhir iaitu 1m papan anjal lelaki dan 3m papan anjal seirama wanita.

Artikel Sebelum

Artikel Lain