suria

Patrice Evra Ucap Selamat Tinggal Pada United, Berpindah Ke Juventus

Bekas kapten United, Evra mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang diwakilinya selama sembilan tahun.

> Bekas penolong kapten Man Utd berusia 33 tahun itu sertai juara Itali

> Juventus baru saja melantik Massimiliano Allegri sebagai pengurus mengantikan Conte

> Evra bermain selama sembilan tahun bersama United

> Tanda tangan kontrak dua tahun

> Louis van Gaal lepaskan Evra selepas berjaya mendapatkan Luke Shaw

KAPTEN dan pemain pertahanan Manchester United selama sembilan tahun, Patrice Evra sah menyertai juara Liga Itali, Juventus dengan harga £2.5 juta.

Evra yang bermain mewakili Perancis pada temasya Piala Dunia di Brazil menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Juventus.

Keputusannya untuk beralih kelab agak mengejutkan kerana Evra baru sahaja melanjutkan kontraknya selama setahun lagi dengan United bulan lalu.

Bagaimanapun sebaik sahaja United berjaya mendapatkan khidmat Luke Shaw yang berusia 18 tahun dari Southampton, Evra sudah dapat merasakan yang zaman kegemilangannya bersama bekas juara Inggeris itu sudah berakhir.

Dalam kenyataan medianya, Evra secara spesifik memberikan penghormatan kepada bekas pengurusnya Sir Alex Ferguson sebagai seorang pemimpin yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengalas tugas sebagai penolong kapten dan kadang kala sebagai kapten di kelab yang dianggapnya sebagai terbesar dan terbaik di dunia.

Kelab ini, katanya bukan sekadar sebuah kelab bolasepak tetapi adalah sebuah keluarga yang besar yang mana setiap pemainnya menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada pengurus dan juga kelab mereka.

Keputusannya untuk berpindah ke Itali bermakna Evra akan bersatu semula dengan bekas rakan sepasukannya di United iaitu pemain Argentina, Carlos Tevez.

Evra juga menjadi pemain pertahanan veteran United yang ketiga meninggalkan kelab itu selepas bekas kapten Nemanja Vidic berpindah ke Inter Milan bulan lalu dan Rio Ferdinand berpindah ke QPR pada Ahad.

REKOD EVRA BERSAMA UNITED:

Juara Liga Perdana - 5 kali

Liga Juara-Juara Eropah - 1 kali

Juara Piala Carling - 3 kali

Juara Piala Sumbangsih - 5 kali

Juara Kelab Dunia - 1 kali

Permainan keseluruhan - 377 kali

Gol - 10






Artikel Berikut

Artikel Lain