suria

Bintang Baru James Rodriguez Sertai Real Madrid Rabu Ini

Bintang baru Piala Dunia dari Colombia, James Rodriguez akan menyarung jersi Real Madrid Rabu ini...

SUPERSTAR Piala Dunia dari Colombia, James (disebut: Ha-Mes) Rodriguez, akan menandatangani kontrak dengan juara Eropah, Real Madrid Rabu ini dalam perpindahan bernilai £60 juta dari naib juara Perancis, Monaco.

Rodriguez - penjaring terbanyak Piala Dunia - telah dilihat berada di Madrid pada Ahad dalam perjalanan pulang ke Monaco, selepas bercuti sebaik sahaja temasya Piala Dunia selesai 12 Julai lalu.

Dia dikatakan akan menandatangani kontrak jangka panjang selama enam tahun dengan Madrid.

Presiden Real Madrid, Florentino Perez dijadualkan untuk kembali dari Amerika Selatan sebelum Rabu untuk memastikan kontrak dengan Rodriguez dimeteraikan.

Dengan pembelian terbaru ini, bermakna Real Madrid telah berbelanja lebih £80 juta untuk musim baru ini selepas mereka berjaya mendapatkan tanda tangan bintang baru Jerman, Toni Kroos dari Bayern Munich pada harga £20 juta minggu lalu.

Tetapi sepertimana musim lalu apabila mereka membeli Gareth Bale sebanyak £86 juta dengan memecah rekod perpindahan termahal dunia, Real Madrid turut menjual Mesut Ozil kepada Arsenal untuk mengimbangi buku akaun mereka.

Kali ini, bintang ternama mereka yang akan dilepaskan bagi memberi laluan kepada muka baru ialah Angel Di Maria dan Samy Khedira.

Kedua-dua mereka menyerlah pada Piala Dunia tetapi itu juga menjadi penyebab mengapa Real akan menjual mereka kerana nilai perpindahan yang tinggi berasaskan permintaan dan penawaran.

Khedira dan Di Maria kini berkemungkinan besar akan berhijrah ke Liga Perdana Inggeris dengan Manchester United dan Arsenal menunjukkan minat yang mendalam untuk mendapatkan khidmat mereka.

GAMBARAN BARISAN MUSIM DEPAN REAL MADRID:

Formasi: 4-1-3-2

Pemain: Lopez; Carvajal, Pepe, Ramos, Marcelo; Xabi Alonso; Modric, Rodriguez, Kroos; Bale, Ronaldo  


 

Artikel Lain