suria

Kapten England Steven Gerrard Umum Persaraan

KAPTEN England dan Liverpool, Steven Gerrard pada Isnin mengumumkan persaraannya daripada arena antarabangsa sekaligus menyaksikan tamatnya pembabitan selama 14 tahun bersama pasukan kebangsaan.

Menurut Gerrard, dia mengambil keputusan untuk bersara mewakili England kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada kelabnya Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah mulai musim baru nanti.

Gerrard, 34, memenangi 114 kap untuk England dan menjaringkan 21 gol sepanjang tempoh tersebut.

Beliau kini merupakan pemain ketiga di belakang Peter Shilton dan David Beckham yang paling banyak terpilih mewakili England.

Pada temasya Piala Dunia yang baru sahaja selesai beberapa minggu lalu, Gerrard bermain sebagai kapten pasukan.

Malangnya England tersingkir di peringkat kumpulan.

"Saya telah berpeluang untuk menikmati setiap minit yang menyeronokkan bersama pasukan kebangsaan dan hari ini adalah hari yang sangat sedih untuk saya mengumumkan keputusan saya untuk bersara daripada pasukan kebangsaan selepas 14 tahun bermain tanpa putus," ujarnya.

Gerrard pertama kali terpilih mewakili England di bawah kendalian Kevin Keegan pada tahun 2000 menentang Ukraine dan dilantik sebagai kapten pasukan di bawah Roy Hodgson.

Beliau bermain sebagai kapten England sebanyak 38 kali.

Sepanjang kariernya di peringkat antarabangsa, Gerrard sentiasa dikritik dan dipersoalkan sama ada dia mampu bermain bersama-sama Frank Lampard di formasi tengah kerana corak permainan mereka yang hampir sama.

PROFIL GERRARD BERSAMA ENGLAND:

Kap: 114 (38 sebagai kapten)

Gol: 21

Kad Merah: 1


Artikel Lain