suria

Sejarah Menunjukkan Kejayaan Van Gaal Bermula Perlahan

Pengurus Baru Man Utd, Louis Van Gaal mempunyai sejarah bermula dengan perlahan di hampir kesemua kelab yang dibimbingnya tetapi berakhir dengan kejayaan menjadi juara di penghujung musim.

PENGURUS baru Manchester United, Louis van Gaal hanya mempunyai 31 hari untuk membetulkan apa jua kesilapan dan kelemahan yang wujud pada era David Moyes sebelum perlawanan liga bermula dengan menentang Swansea City di Old Trafford.

Resume nya sangat luar biasa dan tidak dimiliki oleh mana-mana pengurus di benua Eropah.

Dia sentiasa berakhir dengan merangkul kejuaraan di setiap kelab yang disertainya walaupun tempoh dia bersama sesetengah kelab sangat singkat.

Tetapi pada masa yang sama, sejarah menunjukkan bahawa kejayaan van Gaal sentiasa bermula dengan perlahanan dan tidak serta merta.

Bersama Belanda misalnya, dia mengambil masa dua tahun untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap dan akhirnya berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Piala Dunia dan berakhir di tempat ketiga menewaskan tuan rumah Brazil.

Van Gaal mengambil alih pengurusan di Bayern Munich pada 2009. Selepas mengharungi 13 perlawanan, dia hanya menang lima perlawanan dan menjelang pertengahan musim pasukannya berada di tangga ketujuh.

Bagaimanapun menjelang penghujung musim barulah Bayern menunjukkan potensi sebenar mereka dan berakhir dengan memenangi Bundesliga dan pada masa yang sama berjaya ke final, Liga Juara-Juara Eropah.

Van Gaal tewas kepada pasukan Jose Mourinho, Inter Milan pada perlawanan akhir itu.

Ketika bersama kelab Belanda, AZ Alkmaar, Van Gaal bermula lembab dengan tewas dua perlawanan awal liga kepada kelab tidak ternama NAC Breda dan Ado Den Haag. Selepas 11 perlawanan, AZ di tangga keempat liga tetapi bagaimanapun berakhir sebagai juara liga.

Walaupun masanya bersama Ajax Amsterdam (1991-97) merupakan tempoh yang paling berjaya dalam sejarah kerjayanya sebagai jurulatih, tetapi Van Gaal mengambil masa tiga musim untuk merangkul kejuaraan liganya yang pertama bersama mereka.

Musim pertamanya di Barcelona adalah yang paling berjaya iaitu memenangi liga tetapi caranya dibenci oleh para penyokong dan mereka tidak yakin dengan corak permainan yang dibawa olehnya.

Mereka menganggap kejayaannya lebih didorong oleh nasib dan kelemahan pasukan lawan bukannya kerana corak permainan yang diperkenalkannya.

Ini kerana karakter jurulatih yang datang sebelumnya iaitu Bobby Robson dan Johan Cruyff sungguh popular di kalangan penyokong dan cara Van Gaal yang tidak diplomasi menjadi masalah besar antaranya dengan para penyokong.

Mereka menggunakan alasan itu untuk berkempen sehingga menyingkirnya keluar.

Namun begitu Van Gaal tidak keluar dengan tangan kosong. Dia membawa pulang dua kejuaraan liga (1998 dan 1999).

Di musim terakhirnya bersama Barca, Van Gaal sekali lagi bermula lembab. Pasukannya berada di tangga kesepuluh selepas 14 perlawanan dengan hanya menang lima perlawanan tetapi menjelang babak kedua musim, mereka menang 19 daripada 24 baki perlawanan dan sekali lagi muncul sebagai juara.

Dia juga mempunyai sejarah yang tidak harmoni dengan pengurusan kelab. Van Gaal pernah bertikam lidah dengan Presiden Bayern, Uli Hoeness yang menganggap Van Gaal adalah lebih besar dari tuhan.

"Masalah dengan Louis van Gaal ialah dia wujud sebelum dunia ini diwujudkan," kata Hoeness secara sarkastik mengenai Van Gaal.

Di United, hanya masa yang akan menentukan bagaimanakah cara Van Gaal akan diterima oleh para peminat selepas mereka berhadapan dengan situasi yang sukar di era Moyes.

Di era Moyes, para peminat Man Utd macam dipaksa untuk bersabar menerima kehadirannya tetapi kesabaran mereka itu berakhir menjelang penghujung musim apabila jelas Moyes membawa bencana dan malapetaka kepada penyandang juara liga itu dan bukannya meneruskan kegemilangan Sir Alex Ferguson.

Manakan tidak. Mereka sudah biasa digamit kejayaan demi kejayaan dalam tempoh lebih 20 tahun di bawah Ferguson. Dan apabila penyandang juara berakhir di tangga ketujuh liga, situasi itu terlalu berat untuk ditanggung.

Moyes mewarisi legasi kelab itu tanpa memenangi sebarang piala ketika bersama Everton sedangkan Van Gaal meninggalkan semua kelab yang dibimbingnya sebagai seorang juara. Itulah perbezaan ketara antara Moyes dan Van Gaal.

STATISTIK REKOD LOUIS VAN GAAL SEBAGAI SEORANG JURULATIH:

BARCELONA:

1997-98: Di tangga ke-2 selepas 14 perlawanan (berakhir sebagai juara liga)

1998-99: Di tangga ke-10 selepas 14 perlawanan (berakhir sebagai juara liga)

BARCELONA:

2002-03: Di tangga ke-13 selepas 14 perlawanan (dipecat pada pertengahan musim. Barca berakhir di tangga ke-6)

AZ ALKMAAR:

2005-06: Di tangga ke-3 selepas 13 perlawanan (berakhir sebagai naib juara)

2006-07: Di tangga ket-3 selepas 13 perlawanan (berakhir di tangga ke-3 liga)

2007-08: Di tangga ke-10 selepas 13 perlawanan (berakhir di tangga ke-11 liga)

2008-09: Di tangga ke-4 selepas 11 perlawanan (berakhir sebagai juara liga)

BAYERN MUNICH:

2009-2010: Di tangga ke-7 selepas 13 perlawanan (berakhir sebagai juara liga)

2010-2011: Di tangga ke-8 selepas 13 perlawanan (dipecat April ketika berada di tangga ke-4. Bayern berakhir di tempat ke-3)

Artikel Lain