suria

Juventus Lantik Bekas Pengurus Milan Massimiliano Allegri

Pengurus Juventus yang baru, Massimiliano Allegri.

PENYANDANG juara Serie A, Juventus mengumumkan pelantikan bekas pengurus AC Milan, Massimiliano Allegri sebagai jurulatih yang baru mengantikan Antonio Conte yang meletakkan jawatannya pada Selasa.

Allegri menandatangani kontrak selama dua tahun dengan bayaran gaji sebanyak €2m (£1.6juta) semusim.

Juventus yang merupakan juara tiga musim berturut-turut terpaksa melepaskan Conte yang mahu mencari cabaran baru.

Sementara itu, Allegri yang sebelum menyertai Milan adalah pengurus Cagliari merupakan seorang jurulatih yang disegani dan mempunyai reputasi yang tinggi.

Selepas menyertai Milan pada 2010 dia berjaya membawa kelab itu menjuarai liga. Bagaimanapaun Milan gagal mempertahankan kejuaraan mereka dan sekadar menjadi naib juara kepada Juventus pada musim berikutnya.

Allegri dipecat oleh Milan pada Januari tahun ini dan melantik bekas pemain kelab itu Clarence Seedorf, sebagai penganti. Seedorf hanya mampu bertahan selama lima bulan sahaja sebelum dia pun dipecat dan diganti oleh seorang lagi bekas pemain, Filippo Inzaghi.

Conte pula dikatakan akan dilantik sebagai pengurus pasukan kebangsaan Itali yang baru mengantikan Cesare Prandelli, yang kini mengurus kelab Turki, Galatasaray.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain