suria

Van De Mark Tawan Litar Sepang Untuk Gelaran Ketiga Supersport 600cc Musim 2014

SEPANG: Pelumba Belanda Michael van der Mark meraih kemenangan ketiga dalam perlumbaan Supersports 600cc selepas menjuarai pusingan keenam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2014 di Litar Antarabangsa Sepang di sini Ahad.

Pelumba Honda berusia 21 tahun itu mengatasi pelumba Perancis Jules Cluzel daripada pasukan MV Augusta RC-Yakhnich Motorsports dengan kelebihan 0.018 saat selepas mencatat masa 30 minit 23.854 saat dalam perlumbaan 14-pusingan itu.

van der Mark turut merakamkan catatan terpantas sepusingan pada pusingan kelapan dengan masa 2 minit 09.417 saat.
Kejayaan tersebut telah melebarkan kedudukan anak kelahiran Rotterdam itu di persada kejuaraan dengan 115 mata, diikuti Cluzel dengan 82 mata.

van der Mark memulakan kempen musim ini dengan mencapai kemenangan pada pusingan ketiga di Litar Assen, Belanda, pada 27 April lepas sebelum mengulangi kejayaan pada pusingan kelima di Litar Donington, England, 25 Mei lepas.

Pelumba Turki Kenan Sofuoglu menduduki tempat ketiga dengan ketinggalan 4.526s daripada Cluzel.

Tujuh daripada 23 pelumba dalam perlumbaan tersebut gagal menamatkan saingan selepas terbabit dalam kemalangan dalam awal perlumbaan.

Sementara itu, pelumba wildcard tunggal negara, Muhd Zaqhwan Zaidi menampilkan tunggangan cemerlang untuk menduduki tempat kesembilan dengan mencatat masa terpantas 2 minit 08.831 saat pada pusingan kedua.

Pelumba berusia 18 tahun itu berjaya mengumpul tujuh mata untuk menduduki tangga ke-21 keseluruhan pada penampilan sulung dalam Kejuaraan WSBK musim ini.

Bercakap kepada pemberita selepas perlumbaan berkenaan, Muhd Zaqhwan berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian tersebut walaupun membuat penampilan sulung pada kejohanan tersebut.

"Sebelum ini, saya melihat agak sukar untuk pelumba wildcard untuk berada dalam kedudukan 10 penunggang terbaik dan saya gembira kerana meraih kedudukan kesembilan.

"Saya akan menggunakan pengalaman ini untuk menghadapi Kejohanan Asian Road Racing Championship (ARRC) selepas ini di mana saya menyasarkan kedudukan lima terbaik," kata pelumba kelahiran Kajang, Selangor, itu.

Pusingan ketujuh kejuaraan WSBK akan berlangsung di Litar Marco Simoncelli Misano di Itali, pada 22 Jun ini.

Berikut keputusan akhir Supersport 600c pada pusingan keenam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2014 di Litar Antarabangsa Sepang, Ahad:

(Perlumbaan 14-pusingan):

1. Michael Van Der Mark (NED) Honda 2'09.417 saat

2. Jules Cluzel (FRA) MV Agusta - 2'09.376s

3. Kenan Sofuoglu (TUR) Kawasaki - 2'09.576s

4. Roberto Rolfo (ITA) Kawasaki - 2'09.648s

5. Lorenza Zanetti (ITA) Honda - 2'09.685s

6. Rathhapark Wilairot (THA) Honda - 2'09.852s

7. Raffaele De Rosa (ITA) Honda - 2'09.660s

8. Patrick Jacobsen (USA) Kawasaki - 2'09.762s

9. MUHD ZAQHWAN ZAIDI (MAS) Honda - 2'09.831s

10. Marco Bussoloti (ITA) Honda - 2'10.646s

11. Christian Gamarino (ITA) Kawasaki - 2'10.928s

12. Riccardo Russo (ITA) Honda - 2'10.639s

13. Alessandro Nocco (ITA) Kawasaki - 2'11.994s

14. Vladimir Leonov (RUS) MV Agusta - 2'11.836s

15. Tony Covena (NED) Kawasaki - 2'13.676s

16. Fraser Rogers (GBR) Honda - 2'11.309s

Tidak Diklasifikasikan:

Roberto Tamburni (ITA) Kawasaki - 2'09.859s - 4 pusingan
Kack Kennedy (IRL) Honda - 2'10.017s - (4)
Florian Marino (FRA) Kawasaki - 2'09.653s - (4)
Fabio Menghi (ITA) Yamaha - 2'12.011s - (5)
Nacho Calero (ESP) Honda - 2'13.174s - (7)
Kev Coghlan (GBR) Yamaha - 2'09.178s - (10)
Alexey Inov (RUS) Yamaha - 2'12.316s - (13)



van der Mark, Honda, Sepang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain