suria

Melandri Rangkul Kejuaraan Pusingan Ke-6 WSBK Di Sepang

JUARA... Pelumba dari Aprilia Racing team, Marco Melandri (tengah) bergambar kenangan bersama pemenang tempat kedua, Sylvain Guigliano dari Aprilia Racing team (kiri) dan tempat ketiga, Eugene Laverty dari pasukan Voltom Crescent Suzuki selepas tamat perlumbaan pertama Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2014 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Ahad. -fotoBERNAMA
SEPANG: Pelumba Aprilia, Marco Melandri menguasai dua perlumbaan untuk mencapai kejuaraan sulung pada pusingan keenam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2014 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini Ahad.

Pelumba Itali berusia 32 tahun itu merakamkan 32 minit 42.359 saat pada perlumbaan pertama 16 pusingan sejauh 88.768km sebelum mencatat masa 21'00.424s pada perlumbaan kedua 10-pusingan sejauh 55.480km.

Rakan sepasukan, Sylvain Guintoli, yang memulakan perlumbaan di petak utama, menduduki tempat kedua dengan ketinggalan 0.620 saat pada perlumbaan pertama dan 0.166 saat pada perlumbaan kedua.

Juara bertahan Tom Sykes dari Britain, menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan kedua dengan masa 21'03.113s selepas terbabas dalam perlumbaan pertama.

Melandri, pelumba Itali berusia 31 tahun, berkata beliau sangat gembira selepas pelumba Aprilla menguasai dua tempat teratas dalam kedua-dua perlumbaan tersebut.

"Seronok sekali bagi diri saya dan juga rakan kerana kemenangan 1-2 dan saya tahu perlumbaan ini sukar namun penghujungnya memang hebat," kata bekas pelumba MotoGP Dunia itu.

Guintoli berkata kemenangan tersebut adalah kejayaan besar pasukan.

"Saya melakukan yang terbaik untuk mengejar Melandri tetapi dia lebih bagus hari ini. Saya mengucapkan tahniah kepadanya dan tidak sabar untuk pusingan seterus di Itali," katanya.

Bagaimanapun kejayaan Melandri itu tidak mengubah kedudukan kelima keseluruhan musim ini dengan 147 mata iaitu ketinggalan 54 mata daripada pendahulu musim, Sykes, yang mengumpul 201 mata diikuti Guintoli dengan 188 mata.

Pusingan ketujuh kejuaraan WSBK akan berlangsung di Litar Marco Simoncelli Misano, Itali, pada 22 Jun ini.
Marco Melandri, WSBK Sepang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain