suria

Piala Dunia 2014: Neymar Ayam Tambatan Brazil

Neymar
RIO DE JANEIRO: Pasukan Piala Dunia 2014 Brazil mempertaruhkan harapan tinggi kepada pemainnya, Neymar untuk beraksi cemerlang pada pusingan akhir saingan yang akan bermula minggu depan.

Pemain pertahanan Brazil sendiri, Thiago Silva yakin rakan sepasukan itu mampu menyinar dan mengulangi pencapaian baiknya ketika membantu pasukan negara itu menjulang trofi Piala Konfederasi tahun lalu.

Prestasi penyerang berusia 21 tahun itu musim ini bagaimanapun agak sederhana apabila hanya meledakkan sembilan gol pada tahun pertamanya bersama Barcelona.

"Kekuatan kami terletak kepada kualiti setiap pemain, bagaimanapun kami menjadi hebat sebagai sebuah pasukan. "Jadi, kami sudah bersedia untuk menggegar kempen Piala Dunia 2014 di tanah air sendiri," katanya.

Brazil dianggap sebagai pasukan pilihan pada kempen Piala Dunia kali ini, sekali gus memburu trofi keenam.

Silva berkata, mereka cukup yakin untuk memenuhi impian menjadi juara tahun ini.

"Kami tidak sabar untuk menggembirakan seluruh rakyat Brazil dengan kejayaan menjulang trofi Piala Dunia 2014," jelas Silva.

Kehebatan Neymar jelas terbukti apabila membantu Brazil menundukkan Panama 4-0 pada perlawanan persahabatan sebelum menjadi tuan rumah bola sepak Piala Dunia.

Panama yang mempamerkan persembahan bertenaga bagaimanapun gagal mencari peluang keemasan dan pasukan tuan rumah berada di depan pada minit ke-27 apabila sepakan bebas Neymar berjaya mengalahkan penjaga gol, diikuti pada kira-kira 13 minit kemudian apabila hantara Neymar disudahi dengan jaringan gol rakan sepasukannya di kelab Barcelona, Dani Alves.





Neymar, Brazil, Piala Dunia

Artikel Lain