suria

Tunku Ismail Tidak Hasrat Pegang Jawatan Dalam FAM

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak berhasrat memegang sebarang jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Baginda, yang gagal bagi perebutan jawatan Presiden FAM pada Kongres Tahunan FAM ke-50 pada Ahad lepas, bagaimanapun bersedia untuk memberikan bantuan kepada badan induk bola sepak negara itu dalam meningkatkan mutu dan imej bola sepak tanah air.

"Saya terima keputusan pemilihan FAM yang lalu dengan hati yang terbuka. Saya kini lebih bersemangat dalam menjalankan tanggungjawab saya dalam memartabatkan bola sepak negeri Johor. Itulah takdir saya.

"Kita berada di mana Allah S.W.T takdirkan kita berada pada masa ini. Setiap sesuatu yang kita lalui adalah sebahagian daripada perancanganNya. Allah mempunyai ketetapanNya.

"Percaya kepada ketentuanNya, teruskan hidup, dan nikmatilah ia," kata baginda yang dipetik daripada Facebook rasmi Johor Darul Ta'zim; Johor Southern Tigers, Rabu.

Baginda, yang juga Tunku Mahkota Johor, tewas dengan kiraan 12 berbalas 27 undi bagi jawatan Presiden kepada penyandang Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Penyandang Presiden, Sultan Ahmad Shah yang menarik diri daripada mempertahankan jawatan Presiden, dilantik sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup FAM.
Tunku Ismail, FAM

Artikel Lain