suria

Piala Dunia 2014: Skuad Hoki Pakai Lilitan Kain Hitam Di Lengan

Muhammad Dharmaraj Abdullah
KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara akan memakai lilitan kain hitam di lengan sebagai menghormati kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada perlawanan pembukaan menentang Australia di Kejohanan Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda, Sabtu ini.

Ketua jurulatih negara Muhammad Dharmaraj Abdullah berkata berita kemangkatan baginda merupakan satu perkhabaran sedih buat skuad negara yang kini giat menjalani latihan untuk kejohanan itu.

Bagi skuad negara, kemangkatan baginda yang digelar 'Bapa Hoki Malaysia' adalah satu kehilangan yang amat besar kepada sejarah sukan hoki negara.

"Kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah pada masa kita akan bermula kempen Piala Dunia adalah sangat menyedihkan. Almarhum Tuanku akan sentiasa berada di mana-mana perlawanan dan sentiasa memberi sokongan padu kepada pemain," katanya ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi Whatsapp di sini.

Pada Piala Dunia 2014, Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama Australia, Belgium, England, Sepanyol dan India manakala Kumpulan B terdiri daripada Belanda, Jerman, New Zealand, Korea Selatan, Argentina dan Afrika Selatan.

Almarhum Sultan Azlan Shah adalah Penasihat Kehormat Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) yang kini dikenali sebagai Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan juga Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF).

Sementara itu, bekas kapten skuad negara Nor Saiful Zaini pula berkata Almarhum telah banyak berjasa terhadap pembangunan sukan hoki negara.

"Almarhum Tuanku sering membantu secara menyeluruh, terutamanya dalam memberi nasihat serta teguran yang membina terhadap pasukan hoki, termasuklah saya," katanya yang memulakan karier pada tahun 1985 ketika Almarhum memegang jawatan Presiden PHM.

Beliau berkata antara kenangan manis bersama Almarhum adalah ketika pasukan negara menumpaskan Pakistan di Sukan Asia 196 di Seoul, Korea Selatan.

"Pada ketika itu saya lihat Tuanku begitu gembira kerana sebelum itu kita belum pernah menundukkan Pakistan yang dilihat sebagai antara pasukan terkuat," katanya.
Piala Dunia 2014, hoki

Artikel Lain