Jepun, juara lima kali dan terakhir pada 1981, gagal merobohkan Tembok Besar China apabila perseorangan nombor satu dunia, Xi Xuerui membuka kempen dengan mengalahkan mudah Minatsu Mitani 21-15 dan 21-5 dalam masa 36 minit.
Bagaimanapun, mata pembukaan itu tidak mematahkan semangat pemain Jepun yang berjaya menyamakan kedudukan menerusi beregu utama Misaki Matsutomo/Ayaya Takahashi.
Gandingan Jepun itu tidak menghadapi masalah dan hanya memerlukan masa 46 minit untuk mengetepikan Bao Yixin/Tang Jinhua dalam straight set 21-18 dan 21-9.
Keceriaan Jepun mula menurun apabila pemain perseorangan kedua Wang Shixian memberi mata pendahulu kepada China dengan menyingkirkan Sayaka Takahashi 21-16 dan 21-12 dalam masa 45 minit.
Beregu kedua Zhao Yunlei/Wang Xiaoli mengesahkan dominasi China sejak tahun 1980-an dalam kejohanan berprestij itu apabila menewaskan Miyuki Maeda/Reika Kakiiwa 21-13 dan 21-6 dalam masa 37 minit.


