suria

Doakan Malaysia Dapat Bawa Pulang Piala Thomas - Rosmah

Rosmah Mansor.
ASTANA: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor meminta seluruh rakyat Malaysia supaya sama-sama berdoa dan memberi sokongan penuh kepada skuad negara agar dapat membawa pulang Piala Thomas esok.
 
"Dah lama kita tidak merasa pegang Piala Thomas itu, dan insyaAllah sama-samalah kita berdoa semoga pasukan kita akan menang.
 
"Tambah-tambah lagi saya. Saya memang mempunyai penuh harapan kita menang dan insyaAllah kita menang," kata Rosmah yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada wartawan Malaysia di sini.

Rosmah berada di sini mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, yang sedang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Kazakhstan sejak Khamis.

Malaysia akan bertemu Jepun di final Piala Thomas 2014 di New Delhi, India, esok.

Rosmah dan Najib, yang amat bangga dan gembira dengan kejayaan pasukan badminton negara berjaya ke final, telah juga menyampaikan kata-kata semangat mereka kepada pasukan negara untuk menghadapi pertandingan esok dengan penuh bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk meraih kejayaan yang diharap-harapkan.
 
Rosmah berkata walaupun berada di luar negara beliau telah dapat mengikuti perkembangan skuad Malaysia di Piala Thomas semalam apabila beberapa pegawai BAM menghubunginya untuk memberi maklumat terkini pada setiap perlawanan.
 
"Malam tadi Datuk Lee Chong Wei juga telah menghubungi saya memberitahu bahawa mereka akan masuk final dan bertanding bertemu Jepun, jadi saya telah memberi beberapa nasihat kepada mereka melalui Chong Wei dan supaya mereka berehat hari ini.
 
"Saya cakap jangan relaks, perlawanan belum berakhir. Saya nasihatkan supaya mereka seharusnya bertenang dan berasa lega apabila mereka menang di pertandngan akhir esok insyaAllah," katanya.

Rosmah berkata beliau juga telah diberitahu bahawa Malaysia ada peluang terbaik untuk menang bagaimanapun pasukan Jepun juga telah banyak menunjukkan kemajuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
 
"Sebagai penaung pasukan badminton Malaysia, saya mengucapkan selamat bertarung di peringkat akhir kepada pasukan negara dan bukan saya sahaja yang berharap pasukan kita menang, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia berharap kita bawa balik Piala Thomas," katanya.
 
"Sekiranya kita tak menang, janganlah kita berasa hampa, ini adat pertandingan ada yang menang, ada yang kalah dan saya berharap mereka akan cuba lagi di pertandingan akan datang," katanya.

Piala Thomas, BAM, Rosmah Mansor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain