suria

Piala Thomas: Najib Dan Rosmah Suntik Kata Semangat

ASTANA: Walaupun sibuk dengan jadual lawatan yang padat di sini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor masih sempat menyampaikan kata-kata semangat kepada pasukan badminton Malaysia yang akan bertemu Jepun pada final Piala Thomas di New Delhi pada Ahad.

Kata-kata semangat itu mereka sampaikan melalui jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei menerusi perbualan telefon dari sini dan Perdana Menteri yakin pasukan Malaysia akan bermain dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.

"Secara kebetulan setiap kali beliau bermain, sebelum atau selepas, Datuk Lee Chong Wei akan menelefon isteri saya sebagai penaung Persatuan Badminton Malaysia.

"Jadi dalam lawatan ini, dua kali dia telah telefon dan saya dan isteri telah memberi kata-kata ransangan kepada pasukan Malaysia melalui Chong Wei," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Najib yang sedang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Kazakhstan sejak Khamis kelihatan amat gembira sekali dengan pencapaian pasukan Malaysia pada Piala Thomas kali ini, yang menyaksikan Malaysia menamatkan penantian 12 tahun ke final bagi merebut piala berprestij itu.

"Berita bahawa Malaysia berjaya memasuki pertandingan akhir Piala Thomas ini merupakan satu berita yang amat membanggakan dan sesuatu yang sangat dinanti-nantikan dan pasukan kita sedar bahawa mereka membawa harapan hampir 30 juta rakyat Malaysia untuk menjulang Piala Thomas.

"Ini akan merupakan suatu kejayaan yang sudah tentu akan melonjakkan semangat rakyat Malaysia dan imej Malaysia dan saya percaya pasukan kita akan bermain dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan, meraih kemenangan, yang saya pasti akan merupakan satu detik manis untuk rakyat Malaysia," kata Najib.

Malaysia menamatkan penantian selama 12 tahun untuk layak ke final Piala Thomas 2014 selepas menewaskan Indonesia 3-0 pada peringkat separuh akhir di Stadium Tertutup Siri Fort di New Delhi pada Jumaat malam.

Skuad negara telah melepasi sasaran separuh akhir pada edisi kali ini dan sekali lagi mempunyai peluang untuk menamatkan kemarau selama 22 tahun untuk menjulang piala berprestij itu yang dimenangi di Kuala Lumpur pada 1992.

Malaysia akan bertemu pendatang baharu Jepun pada final Ahad ini.

Malaysia kali terakhir beraksi di pentas final pada edisi 2002 di Guangzhou, China, apabila kalah 3-2 kepada Indonesia.

Piala Thomas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain