suria

Piala Thomas: Buktikan Malaysia Boleh - KJ

Skuad Piala Thomas Malaysia yang akan berjuang pada Sabtu di India.

PUTRAJAYA: Buktikan Malaysia boleh.

Demikian kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada Sabtu ketika mengulas kejayaan skuad badminton Malaysia ke peringkat akhir Piala Thomas selepas menewaskan Indonesia 3-0 pada separuh akhir pada Jumaat.

Menyifatkan ini peluang terbaik untuk membawa pulang piala itu ke tanah air selepas kemarau 22 tahun, Khairy bagaimanapun mengingatkan pemain agar tidak terlalu yakin ketika bertemu Jepun pada final.

"Saya berharap mereka akan merealisasikan harapan seluruh rakyat Malaysia untuk melihat skuad negara menewaskan Jepun di perlawanan akhir.

"Bagaimanapun saya ingin menasihatkan kepada pemain agar tidak terlalu yakin, berjuanglah sehingga kemenangan mutlak berpihak kepada Malaysia," katanya kepada pemberita di sini.

Selain Malaysia yang mencipta kejayaan mengatasi sasaran separuh akhir, Jepun melakar sejarah tersendiri apabila menyingkirkan gergasi badminton dunia, China dengan 3-0 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Khairy berkata Jepun tidak boleh dianggap sebagai lawan yang mudah memandangkan ia berjaya menundukkan China.

"Yang paling penting sekarang adalah pemain perlu fokus kepada permainan mereka, sekiranya berjaya membawa pulang Piala Thomas, ini adalah kejayaan paling bermakna kepada skuad badminton negara," katanya.

Khairy berkata beliau telah menghubungi Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Norza Zakaria dan pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei untuk memberi kata-kata semangat menjelang perlawanan akhir itu.

Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas ialah pada 1992 di Kuala Lumpur manakala kali terakhir layak ke perlawanan akhir ialah ketika di Guangzhou pada 2002 dan tewas 2-3 kepada Indonesia.


Piala Thomas

Artikel Berikut

Artikel Lain