suria

Malaysia Mula Kempen Piala Thomas Dengan Atasi India

NEW DELHI: Malaysia membuka kempen Piala Thomas dengan langkah kanan apabila mengecewakan tuan rumah India 4-1 dalam saingan Kumpulan C di Stadium Tertutup Siri Fort di sini, Ahad.

Seperti diramalkan, pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei menyuntik semangat pasukan apabila menyumbang mata pertama negara dengan menundukkan K. Srikanth 21-19 dan 21-12.

"Saya kena cuba main dengan lebih pantas," kata Chong Wei yang mengambil masa 35 minit untuk menjinakkan lawannya itu.

Mengenai keadaan gelanggang, beliau berkata isu laluan angin dengan penghawa dingin merupakan satu isu dan pemain perlu menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang yang berbeza.

"Saya biasa dengan keadaan angin dalam venue ini kerana pernah bermain di sini sebelum ini," katanya.

Malaysia mendapat mata kedua menerusi beregu pertama Tan Boon Heong/Hoon Thien How yang hanya mengambil masa 30 minit untuk mengetepikan beregu tuan rumah B.Sumeeth Reddy/Manu Attri dengan keputusan 21-14, 21-11.

Pemain perseorangan kedua negara Chong Wei Feng, yang beraksi buat julung kali pada kejohanan itu, menambah mata ketiga dengan menyingkirkan Kashyap Parupalli dalam straight set 21-13, 21-16.

"Saya sendiri terkejut kerana dalam tiga pertemuan dengannya sebelum ini, saya terpaksa berentap sehingga rubber-set," kata Wei Feng yang memerlukan masa 30 minit untuk menyumbang mata kepada skuad negara.

Beregu kedua negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong menyumbang mata keempat negara dengan menewaskan Akshay Dewalkar/Pranav Jerry Chopra 21-17, 14-21, 21-14 dalam masa 47 minit.

Bagaimanapun, India berjaya memungut satu mata apabila pemain perseorangan ketiga negara Liew Daren kalah kepada Gurusaidutt R. M. V. 21-18, 13-21, 19-21 dalam pertarungan selama 64 minit.

Jurulatih negara Rashid Sidek berkata secara keseluruhan, skuad negara menampilkan persembahan baik kecuali Liew Daren.

"Pasukan perlu terus memberi tumpuan dan mempunyai semangat tinggi dalam perlawanan kedua menentang Jerman esok," katanya.

Malaysia akan melengkapkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang Korea Selatan pada Rabu ini. Dua pasukan terbaik selepas pusingan peringkat kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir.

Dalam pada itu, Malaysia akan membuka kempen Piala Uber dengan menentang Denmark dalam Kumpulan Z esok.

Selain Denmark, kumpulan tersebut terdiri daripada Jerman dan Jepun.

Piala Thomas, Lee Chong Wei

Artikel Lain