suria

Ragbi: Malaysia Hadapi Laluan Getir Untuk Ke Divisyen Satu

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Wira Amiruddin Embi (kiri) ketika sidang media mengenai perlawanan 'Asian Five Nations 2014' di Wisma OCM, Kuala Lumpur, Khamis. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menghadapi laluan sukar untuk kembali semula ke Divisyen Satu dengan kehadiran pasukan tuan rumah pada saingan Divisyen Dua Kejohanan Ragbi HSBC Lima Negara Asia di Doha, Qatar, bermula 20 Mei ini.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Wira Amiruddin Embi berkata Qatar mempunyai rekod tanpa kalah dalam 17 perlawanan sejak menyertai Divisyen Lima dan melangkah sehingga ke Divisyen Dua.

Walaupun memperakui kehebatan Qatar, katanya Malaysia tetap berazam untuk memburu slot tunggal untuk mara ke Divisyen Satu pada tahun depan.

Selain Qatar, kejohanan itu turut disertai Thailand dan Iran.

Selepas dua tahun berturut-turut gagal ke Divisyen Satu, kini skuad bimbingan Lee Yuk Fah lebih matang untuk menyahut cabaran pada tahun ini, kata Amiruddin pada sidang media di sini hari ini.

Malaysia akan membuka kempen dengan menentang Iran manakala Thailand bertemu Qatar, pada Selasa depan.

"Kami amat mengharapkan kemenangan selepas kalah pada dua edisi lepas walaupun Malaysia mempunyai sebuah pasukan berkualiti..kali ini kami berazam untuk menyertai negara lain dalam Divisyen Satu," katanya.

Buat masa ini, Amiruddin berkata Malaysia menduduki ranking kedua di belakang Thailand pada saingan Divisyen Dua diikuti Iran dan Qatar.

Selain juara Divisyen Dua layak ke Divisyen Satu, pasukan tercorot dalam kejohanan ini akan turun ke Divisyen Tiga pada tahun depan.

Sementara itu, jurulatih Yuk Fah berkata pasukannya akan berusaha memperbaiki kelemahan masa lalu bagi memastikan kejayaan pada kejohanan itu.

"Berdasarkan pengalaman lepas, kami kalah kerana kurang tumpuan dan masalah disiplin. Bagaimanapun, kami mengambil iktibar daripada pengalaman lalu untuk menampilkan corak permainan mantap serta bermain dengan bijak," katanya.

Walaupun Thailand menduduki ranking pertama, katanya, Qatar merupakan pasukan pilihan kerana memilik rekod cemerlang dan kebanyakan pemain terdiri daripada pemain profesional.
Datuk Wira Amiruddin Embi, ragbi

Artikel Lain