suria

Man United Hilang Pendapatan Lebih £30 Juta Gagal Layak Ke Liga Juara-Juara Eropah

Manchester United dijangka hilang punca pendapatan berjuta pound sterling kerana gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

> Objektif musim depan adalah untuk layak ke pertandingan Eropah

> Pengumuman pengurus baru ditangguh ke satu masa yang sesuai

KEGAGALAN Manchester United layak ke pertandingan peringkat Eropah musim depan akan menyebabkan kelab itu menanggung kerugian pendapatan sehingga £30 juta demikian didedahkan oleh Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward pada Khamis.

Bagaimanapun tegasnya, itu tidak akan menjejaskan sama sekali aktiviti membeli pemain-pemain baru.

"Oleh kerana kelayakan bertanding di peringkat Eropah melibatkan perjanjian hak siaran langsung dan jualan tiket, kami menjangkakan kehilangan punca pendapatan sekitar £30 juta. Oleh yang demikian misi kelab musim depan ialah untuk kembali melayakkan diri ke pertandingan Eropah bagi musim berikutnya," ujar beliau ketika bercakap dalam persidangan telefon pada Khamis.

United menamatkan kempen musim ini dengan berakhir di tangga ketujuh liga dan itu bermakna mereka bukan sahaja tidak layak ke pertandingan Liga Juara-Juara malah tersingkir dari pertandingan Liga Europah.

"Tapi percayalah semua kami sedang bertungkus lumus untuk memastikan yang musim akan datang kelab ini akan kembali ke Liga Juara-Juara sepertimana musim-musim yang lalu," kata Woodward lagi.

Menurutnya United telah menukar pengurus mereka pada April dan mengantikannya buat sementara waktu dengan pemain veteran Ryan Giggs "dan Giggs telah melaksanakan tanggungjawabnya dalam cara yang paling berkesan dan terhormat."

Kini kata Woodward lagi, Manchester United sedang memberi fokus untuk membawa masuk pengurus baru dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam tempoh waktu yang sesuai tidak lama lagi.

United juga turut mengumumkan pendapatan antara Januari hingga Mac tahun ini berjumlah £115.5 juta iaitu meningkat 26 peratus.

Hutang kelab juga berjaya diturunkan sebanyak 4.3 peratus kepada £351.7 juta.

Woodward turut ditanya berapakah pampasan yang terpaksa dibayar kepada bekas pengurus yang dipecat, David Moyes.

Katanya, jumlah itu hanyalah 'satu digit juta'.

Pendapatan United hasil daripada bayaran hak siaran langsung perlawanan adalah sekitar £35.6 juta iaitu meningkat £13.9 juta atau 64.1% peratus.


Artikel Lain